Lelaki hilang ditemukan lemas di Empangan Tasik Pedu
Zuliaty Zulkiffli[email protected]
ANGGOTA BBP Kuala Nerang melakukan pencarian mangsa dikhuatiri lemas di Empangan Tasik Pedu. FOTO Ihsan JBPM
Kuala Nerang: Lelaki yang dilaporkan hilang di Empangan Tasek Pedu, ditemukan lemas hari ini.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.26 pagi hari ini.
Beliau berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang tiba di lokasi pada jam 8.07 pagi.
"Bilik Kawalan BBP Kuala Nerang menerima panggilan daripada pihak polis berhubung kejadian berkenaan dan bergegas ke lokasi.
"Komander operasi melaporkan, maklumat awal yang diperolehi terdapat seorang mangsa iaitu lelaki berusia lingkungan 30-an dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas.
"Berikutan itu operasi pencarian di permukaan air dilakukan di kawasan mangsa dilaporkan hilang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Aminuddin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah kemudian mengarahkan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta bot aluminium dari BBP Jitra dan Sik.
Beliau berkata, mangsa kemudian ditemukan lemas jam 11.45 pagi.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/09/1131087/lelaki-hilang-ditemukan-lemas-di-empangan-tasik-pedu
Disiarkan pada: September 6, 2024 @ 2:56pm
|