Bucharest: Gimnas Romania, Ana Barbosu menerima pingat gangsa Olimpik dalam satu majlis di Bucharest, semalam, selepas Persekutuan Gimnastik Antarabangsa memutuskan kemenangan kepadanya dan bukannya kepada gimnas Amerika Syarikat (AS), Jordan Chiles.
Semakan markah atas tahap kesukaran dilakukannya melonjakkan kedudukan Jordan ke tempat ketiga dalam acar a senaman lantai.
Tetapi Romania mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memutuskan bahawa rayuan AS terlalu lewat, menyebabkan Persekutuan Gimnastik Antarabangsa memberikan pingat kepada Ana.
Jordan sebelum ini berkata kehilangan pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris amat mendukacitakan, menyayat hati serta memberi tamparan kepadanya.
Ana, 18, pula berkata, dia merasa "sangat gembira dan bersyukur," walaupun sedih kerana terdapat masalah seperti itu di peringkat tertinggi.
"Kami sebagai atlet tidak melakukan apa-apa kesalahan," katanya, sambil menambah bahawa dia berharap Jordan dan rakan gimnas Romania, Sabrina Voinea, yang juga mencabar markahnya dalam final acara senaman lantai, dapat menerima ketentuan itu. Selepas pingat itu dikalungkan di lehernya dalam satu majlis ringkas yang diadakan oleh Jawatankuasa Olimpik dan Sukan Romania, Ana memberitahu wartawan: "Saya tidak menyangka ia begitu berat."
Dia berharap dapat memenangi lebih banyak pingat untuk negara Eropah Timur itu, yang pernah mempunyai program gimnastik tersusun tetapi tidak menyertai Olimpik selama 12 tahun yang lalu.
Disiarkan pada: Ogos 17, 2024 @ 8:24am
https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2024/08/1123667/ana-akhirnya-dikalungkan-pingat-gangsa-olimpik#google_vignette
|