View: 5024|Reply: 1
|
[Johor]
Duit RM3,000 bawah permaidani hangus dijilat api
[Copy link]
|
|
SITI Muafikoh bersama dua anaknya tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran di Kampung Melayu Pandan. FOTO Omar Ahmad
Johor Bahru: Mangsa kebakaran membabitkan enam deret rumah setinggan di Kampung Melayu Pandan, di sini, semalam, hanya tinggal sehelai sepinggang ekoran kediaman disewa musnah dijilat api.
Mangsa yang juga warganegara Indonesia, Siti Muafikoh Samri, 46, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur bersama anaknya yang berusia lapan tahun, manakala anaknya yang berusia empat tahun sedang mandi.
Katanya, dia terjaga selepas terdengar jeritan jiran meminta mereka keluar kerana api mula marak.
"Saya bekerja sebagai tukang masak di Pasar Borong Pandan dan pulang awal pagi. Saya umpama bermimpi ketika terdengar jeritan jiran supaya keluar dari rumah.
"Suami, Khairi Wagi yang berusia 55 tahun dan bekerja sebagai kontraktor sudah ke tempat kerja ketika kejadian. Saya terus bangun dan bawa kedua-dua anak menyelamatkan diri.
"Saya hubungi suami untuk beritahu rumah terbakar. Dia bertanyakan wang RM3,000 yang diselit antara papan dan permaidani serta jam tangan mahal yang baru dibelinya.
"Saya maklumkan semuanya hangus malah kami tinggal sehelai sepinggang," katanya yang sudah 10 tahun menetap di situ.
Staf Fungsi Konsuler dari Konsulat Jenderal Republik Indonesia Johor Bahru, Fransisca Suryaningsih berkata, pihaknya akan mengambil maklumat berkaitan semua mangsa untuk tindakan susulan.
Katanya, tiga daripada mangsa memegang status Penduduk Tetap, ada di antara mangsa juga mempunyai permit dan sebahagiannya tiada dokumen.
"Bagi mangsa yang tiada dokumen lengkap, kami akan uruskan dokumen berkaitan untuk mereka dihantar pulang.
"Bagi mangsa yang berstatus penduduk tetap dan mempunyai dokumen, mereka akan menumpang rumah saudara atau tetangga.
"Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor atas bantuan awal dan kita akan uruskan lanjut rakyat kita yang ditimpa musibah ini," katanya.
Ketua Kampung Melayu Pandan Ibrahim Ismail pula memaklumkan, kebakaran yang berlaku jam 10 pagi itu dipercayai berpunca daripada litar pintas membabitkan sebuah daripada rumah sebelum merebak ke kediaman lain.
"Di kampung ini, kira-kira 70 peratus kediaman berstatus setinggan disewakan kepada warga asing.
"Lebih 5,000 warga asing menyewa di kawasan ini dengan 50 peratus membabitkan warga Indonesia. Penduduk asal hanya kira-kira 30 peratus sahaja.
"Kebakaran semalam memusnahkan enam rumah. Penduduk kampung memberi bantuan awal sewajarnya atas dasar kemanusiaan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khirin Nisa Ismail berkata, bantuan seperti makanan, air dan pusat pemindahan sementara (PPS) diberikan kepada mangsa.
"Kerajaan negeri membuka sebuah PPS untuk kemudahan mangsa yang 100 peratus bukan warga Malaysia.
"Ketika ini, Konsulat Jenderal Indonesia akan ambil alih dan uruskan rakyat mereka yang terbabit dalam nahas ini," katanya ditemui di lokasi.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -hangus-dijilat-api |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
Moga dipermudahkan urusan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|