GEORGE TOWN - Enam individu cedera dalam sebuah kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini pada malam Selasa.
Kemalangan terbabit melibatkan kereta Toyota Estima, Perodua Bezza, BMW dan sebuah motosikal.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Pegawai Bomba Kanan II Fairol Mahazi Malek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.35 malam berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, kejadian berlaku selepas Toyota Estima yang datang dari arah pusat bandar ke Jambatan Pulau Pinang terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan.
"Akibat daripada itu, Toyota Estima tersebut telah melanggar kereta Perodua Bezza, BMW dan sebuah motosikal yang datang dari arah Jambatan Pulau Pinang menghala ke pusat bandar," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Tambah beliau, kesemua mangsa berusia lingkungan 30 hingga 40-an.
"Setelah pemeriksaan, kita mendapati ada mangsa yang tersepit akibat daripada perlanggaran tersebut.
"Sehubungan itu, kita melakukan kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
"Terdapat enam mangsa iaitu tiga cedera parah, dua cedera di bahagian badan dan seorang lagi mangsa iaitu pemandu Toyota Estima tiada di lokasi kejadian," katanya lagi.
Beliau menambah, dua mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) menggunakan jentera Insentif Rawatan Kecemasan (EMRS) manakala mangsa lain dibawa menggunakan ambulans untuk tindakan lanjut.
"Kita telah membersihkan tumpahan minyak petrol di lokasi kejadian menggunakan pancutan salur bantu mula.
"Operasi tamat pada jam 12.22 tengah malam tadi (Rabu)," katanya.