Edited by sugarBunn at 14-5-2024 12:16 PM
Konsert sulung serlah ‘taring’ Siti Nordiana, tribute Achik Spin buat peminat emosiAhad, 12 Mei 2024 1:00 PMOleh: ALLYA ABU BAKAR (PELATIH UNIVERSITI MALAYA)
PENYANYI Siti Nordiana bukan sahaja berjaya membuatkan peminat jatuh cinta sekali lagi dengannya malah menjentik emosi sepanjang berlangsungnya Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun yang berlangsung pada malam Sabtu.
Pengalaman hampir tiga dekad sebagai penyanyi juga membuktikan Siti Nordiana atau Nana masih belum hilang taring malah ramai terpana dengan kemantapan vokalnya sepanjang dua jam konsert berlangsung.
Memulakan persembahan dengan Amaran, pemilihan lagu tersebut cukup kuat dalam membangkitkan mood berhibur 3,000 penonton yang membanjiri Zepp Kuala Lumpur.
Malah sebelum penyanyi berusia 40 tahun itu muncul di atas pentas, dewan bergema dengan jeritan peminat yang tidak sabar menantikan kemunculannya dan Nana berjaya mengekalkan momentum penonton sepanjang konsert berlangsung.
Setiap kali lampu di dalam dewan dimalapkan, ia akan diterangi dengan 'lightstick' yang memberi visual menarik terhadap konsert.
Nana yang membahaskan dirinya sebagai 'mader' (mother) cukup bijak melayan peminat yang hadir malah penyanyi itu tidaklekang menunjukkan gerakan jari 'finger heart' ke arah penonton.
Paling penting, kualiti vokalnya tidak menghampakan ketika menyampaikan 21 buah lagu khas buat penonton.
Pastinya, paling dinantikan peminat adalah lagu-lagu seperti Cinta Hanya Sandaran, Nisan Cinta, Hatiku Milikmu dan Bakawali yang membuai emosi.
Susunan muzik yang berkualiti daripada pengarah muzik iaitu Johan Shamsudin juga berjaya menjadikan setiap lagu dipersembahkan istimewa.
Selain Johan, antara pemuzik yang mengiringi persembahan Nana adalah Eddie Slam, Ujang Exists, Wan Gigi, Kabung, Rizal dan Paang.
Emosi penonton terus diusik apabila konsert diselingkan dengan tayangan video istimewa yang mengimbau semula semua kenangan manis dan pahit sepanjang dia bergelar anak seni.
Sesuai dengan konsep menggamit kenangan, Nana turut mengubati kerinduan ramai dengan mendendangkan lagu-lagu duet popularnya bersama Allahyarham Achik Spin.
Seluruh dewan turut mengambil kesempatan menyanyikan bersama lagu seperti Gurauan Berkasih, Memori Berkasih dan Paling Comel.
Ketika slot itu, Nana turut mengambil peluang mengenang setiap kebaikan Allahyarham sejak awal penglibatannya dalami ndustri muzik.
"Saya ingin menyanyikan lagu-lagu yang saya pernah nyanyi dengan insan penting dalam hidup saya.
"Orang yang selalu menemani saya dalam perjalanan seni saya. Orang yang ajar saya erti suka dan duka. Sentiasa ada ketika jatuh bangun saya.
"Tetapi kini dia sudah lama tiada," katanya.
Pada penghujung konsert, Nana menyifatkan konsert tersebut sebagai memori yang akan sentiasa segar dalam ingatannya sampai bila-bila.
“Saya nak semua tahu yang momen ini akan terus berada dalam lipatan memori berkasih Siti Nordiana selama-lamanya,”ujarnya.
|