|
PEKERJA ladang maut di serang gajah liar di ladang di Kampung Om, Pos Blau. FOTO Ihsan PDRM
Gua Musang: Lelaki Bangladesh maut selepas diserang gajah liar di sebuah ladang di Kampung Om, Pos Blau, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa, Md Nawsher Ali, 29, yang juga pekerja ladang dipercayai dalam perjalanan pulang bersama rakannya sebelum terserempak dengan gajah liar.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 9.42 malam.
"Siasatan awal mendapati semasa dalam perjalanan balik dari ladang, mereka terserempak dengan seekor gajah yang turun dari bukit berselekoh.
"Oleh kerana terkejut mereka melarikan diri namun menurut saksi, mangsa yang tidak sempat lari diserang dan ditusuk gading di bahagian perutnya.
"Mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan juga mendapati terdapat kesan tapak kaki gajah berhampiran mangsa," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
"Mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut masih diteruskan.
"Polis mengingatkan supaya tiada mana-mana individu membuat sebarang spekulasi," katanya.
Terdahulu media melaporkan pekerja wanita warga Myanmar dari Ladang Teroka Tuah Sdn Bhd, Aring 8, di sini, diserang gajah liar dalam kejadian Jumaat lalu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... maut-diserang-gajah |
|