BESUT - Sebanyak 1,000 pohon anak kelapa sawit yang baru ditanam di Felda Tenang, di sini musnah dalam kebakaran pada pagi Sabtu.
Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Ridzuan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.39 pagi sebelum mengerahkan sembilan anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran yang membabitkan kawasan seluas lima hektar itu bagaimanapun berjaya dikawal oleh pasukan penyelamat sebelum ia merebak ke kawasan lain.
"Sewaktu anggota bomba tiba di lokasi kejadian, api sedang marak dan kebakaran tersebut telah pun berada pada skala lebih besar.
"Pihak bomba telah melakukan teknik pemisah api bagi mengelakkan api terus merebak ke kawasan lebih luas," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada petang Sabtu.
Pekerja ladang mengambil inisiatif mengangkut air menggunakan tangki bagi membantu anggota bomba memadamkan kebakaran.
Dalam pada itu, katanya, sumber air terhad di kawasan itu menyukarkan proses pemadaman kebakaran.
"Pihak bomba terpaksa berulang alik sejauh tiga kilometer dari kawasan itu untuk mengisi air bagi memadamkan kebakaran.
"Ia disebabkan kawasan tersebut tiada sumber air terbuka yang boleh disalurkan terus untuk ke lokasi kejadian," katanya.
Sementara itu, Assistant Field Controller Felda Plantation Management Sdn Bhd (FPMSB) Tenang Besut, Muhd Ikwan Che Hasan berkata, kebakaran itu dipercayai berlaku kira-kira jam 11.30 pagi.
Menurutnya, kejadian itu disedari oleh pekerja sedang bekerja di ladang berkenaan.
"Kami segera hubungi talian kecemasan dan mengarahkan semua pekerja menjauhkan diri dari lokasi kebakaran sementara menunggu kedatangan pihak bomba," katanya.
Pekerja ladang melihat kemusnahan yang berlaku di ladang tanaman kelapa sawit di Felda Tenang, Besut.
Muhd Ikwan memberitahu, pihaknya turut mengambil inisiatif membantu anggota bomba memadamkan kebakaran tersebut setelah api berjaya dikawal.
"Apabila api berjaya dikawal kami mengangkut air menggunakan tangki berkapasiti 1,000 liter dan menggunakan pam racun untuk membantu pihak bomba.
"Kebakaran ini berjaya dipadamkan dan dikawal sepenuhnya menjelang petang," katanya.