|
GAMBAR hiasan
Kota Bharu: Sejumlah 10.4 juta peluang pekerjaan ditawarkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bersama Jabatan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi portal pekerjaan rasmi MYFutureJobs sejak 2020 hingga April 2024.
Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kesuma, Sutekno Ahmad Belon berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1.03 juta berjaya mendapatkan pekerjaan.
"Kesuma dan Perkeso sentiasa komited dalam memperkukuh pasaran buruh dan tenaga kerja negara dengan meningkatkan akses peluang pekerjaan melalui penganjuran pelbagai program temu duga dan program kebolehpekerjaan.
"Di Kelantan, sebanyak 143,733 jawatan ditawarkan dalam tempoh sama dengan 31,275 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan menerusi portal berkenaan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sutekno Ahmad berkata, program penempatan pekerjaan melalui Portal MYFutureJobs tidak hanya membantu individu yang menganggur atau graduan saja tetapi turut melaksanakan padanan pekerjaan berdasarkan kelayakan dan kemahiran pencari kerja.
"Demi memperkasakan peluang pekerjaan, khususnya dalam komuniti luar bandar, Perkeso memperkenalkan Pusat Satelit MYFutureJobs yang bertujuan memberi akses kepada lebih ramai orang memperoleh pekerjaan.
"Sehingga kini, terdapat 293 Pusat Satelit MYFutureJobs di seluruh negara, termasuk 13 di Kelantan antaranya di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Buluh Kubu, Pusat Komuniti Desa (PKD) dan institusi pendidikan," katanya.
Beliau berkata menerusi program ini juga pihaknya turut melancarkan MYFutureJobs Career Exploration Program (CEP) Khas di Kelantan sebagai inisiatif Kesuma memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah terutamanya Tingkatan 3 hingga 5 mengenali kecenderungan hala tuju kerjaya pelajar melalui sesi kaunseling kerjaya dan ujian psikometrik.
"CEP dengan tema 'Tiada Terpinggir' turut memberi fokus kepada 10 sekolah di bawah seliaan YIK membabitkan 100 pelajar berkenaan kerjaya yang mereka ingin ceburi dan tidak terhad kepada bidang keagamaan saja," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ng-kerja-sejak-2020 |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|