Pembantu kedai didakwa perdaya, ugut, miliki imej lucah
OlehNORAWAZNI YUSOF
23 April 2024 02:12pm
Seorang pembantu kedai jualan komputer tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan pada Selasa atas empat pertuduhan memperdaya, melakukan ugutan jenayah dan memiliki imej lucah.
KUANTAN - Seorang pembantu kedai jualan komputer didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan pada Selasa atas empat pertuduhan memperdaya, melakukan ugutan jenayah dan memiliki imej lucah.
Tertuduh, Loh Yin Teng, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di mahkamah majistret berbeza.
Pengakuan Yin Teng itu direkodkan di hadapan Majistret Raja Nurshuzianna Shakila Raja Mamat dan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki yang belum berkahwin itu didakwa memperdayakan seorang wanita dalam urusan mendapatkan IPhone 11 dan mendorong mangsa menyerahkan wang dengan cara memasukkan ke dalam lapan akaun berbeza sebanyak 12 kali.
Mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdaya oleh tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Haji Ahmad, di sini antara jam 8.19 pagi hingga 10.02 malam pada 8 April hingga 13 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tidak kurang satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun, dengan sebatan atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, Yin Teng didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa sama untuk membawa along bernama Eric dengan niat menyebabkan ketakutan bagi mendapatkan wang.
Perbuatan tersebut dilakukan di Lorong Damai, Taman Sungai Karang di sini, jam 2.41 petang pada 14 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam prosiding di mahkamah berasingan, Yin Teng didakwa atas pertuduhan ketiga iaitu didapati dalam milikannya sekeping gambar milik individu sama yang ditemui di dalam telefon bimbit jenis Realme 6 berwarna biru dan di dalam unit pemproses pusat (CPU) jenis Tecware berwarna hitam milik tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini, jam 12.15 tengah malam, pada 15 April lalu.
Bagi pertuduhan keempat pula, tertuduh pada antara 7 Januari hingga 10 Jun 2023, pada jam 1.17 pagi hingga 7.41 petang bertempat di Jalan Haji Ahmad Kuantan, di sini didapati memperdaya seorang lagi individu berbeza dalam urusan mendapatkan produk Coway.
Tertuduh didakwa telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang dengan memasukkan ke dalam enam akaun berbeza sebanyak tujuh kali transaksi berjumlah RM1,435 di mana mangsa tidak akan menyerahkan tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Bagi pertuduhan ketiga Yin Teng dakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 (a) Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aini Adila Mohd Faizal dan Timbalan Pendakwa Raya Izuain Farhana Ahmad.
Tertuduh diwakili peguam Syafiqa Syeba, Mohamed Azhari Matiasin dan Mohd Azlan Mohd Arish @ Arshad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh ditawarkan wang jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin bercagar bagi setiap pertuduhan pertama, kedua dan keempat manakala RM6,000 pagi pertuduhan ketiga.
Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh meminta agar wang jaminan dikurangkan berikutan tertuduh yang memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan perlu menyara kedua ibu bapanya.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi kesemua pertuduhan, selain tidak boleh mengacau gangu mangsa dan saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan 13 Mei sebagai tarikh sebutan semula.
|