BESUT - Kemahiran menghasilkan umpan tiruan atau gewang yang dimiliki oleh seorang bekas pereka grafik memberi kelebihan buatnya apabila alatan yang dijual secara dalam talian itu mendapat permintaan kaki pancing luar negara.
Ahmad Sharul Mohamed, 44, berkata, dia tidak menyangka pembuatan umpan tiruan yang pada mulanya hanya sekadar hobi bagi mengisi masa terluang kini menjadi antara sumber pendapatannya.
Menurutnya, idea menghasilkan gewang sendiri tercetus selepas dia melihat alatan sama namun kualitinya agak rendah dijual pada harga tinggi.
"Ketika itu saya lihat umpan gewang yang dibeli dari Thailand hanya dicat menggunakan marker sahaja dengan harga RM60 sebiji, jadi dengan kemahiran yang saya ada ini datang idea untuk cuba buat sendiri alatan ini.
"Pada mulanya saya hanya jadikan ia sebagai hobi, tapi bila nampak jualan gewang ni ada potensi dan sambutan, saya mula cuba jual secara dalam talian.
"Selain dapat tempahan daripada kaki pancing dalam negara saya juga terima tempahan dari luar negara antaranya Amerika Syarikat dan Filipina," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kayu Kelat 6, Kuala Besut, baru-baru ini.
Jelas Ahmad Sharul, pada mulanya gewang yang dihasilkan itu menggunakan kayu pulai yang diperoleh di sekitar kawasan pinggir sungai.
Katanya, reka bentuk gewang yang menyerupai ikan dan diwarnakan menggunakan warna-warna ultraviolet (UV) membolehkan ia memantulkan cahaya sekali gus menjadi antara daya penarik alatan itu.
Ahmad Sharul menunjukkan antara koleksi umpan tiruan menggunakan kayu pulai yang dihasilkan sendiri.
"Saya ambil masa sebulan untuk siapkan 100 biji umpan gewang kayu yang dibuat seratus peratus menggunakan tangan.
"Selepas siap, saya akan akan cuba terlebih dahulu kesemua umpan di sungai bagi melihat kesan gerakan di dalam air sebelum ia dijual kepada pelanggan," katanya yang menjual setiap gewang kayu pada harga RM35 hingga RM45.
Menurut Ahmad Sharul, disebabkan permintaan tinggi dia terpaksa hadkan jualan gewang kayu bagi pasaran dalam negara sahaja kerana tidak sempat untuk memenuhi permintaannya yang tinggi dan pembuatannya mengambil masa yang lama.
Katanya, dia juga telah menukar umpan tiruan kayu kepada plastik kerana ia lebih ringan dan boleh dijual pada harga lebih rendah.
"Saya ada pengalaman hampir 11 tahun buat dan jual umpan tiruan kayu ni. Daripada situ saya kaji kaedah lain pembuatan gewang secara lebih mudah dan tidak memakan masa yang lama.
"Harga bagi umpan plastik juga murah iaitu antara RM20 hingga RM25 setiap satu mengikut jenis dan saiz yang dipilih.
"Setakat ini pengeluaran umpan gewang plastik mencecah 500 biji sebulan yang mana ia dipasarkan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.
Bercerita lanjut, Ahmad Sharul memberitahu, perniagaannya turut berdepan cabaran apabila terdapat pihak yang meniru dan menjual karyanya pada harga yang jauh lebih rendah.
"Ini antara cabaran yang saya perlu hadapi. Tapi saya jadikan ia sebagai pengukuh semangat untuk terus bergerak ke hadapan.
"Saya berhasrat untuk membuka kilang pembuatan umpan gewang sendiri dan mempunyai pekerja pada masa akan datang," ujarnya.