|
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan penganjuran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) lebih murah dibandingkan dengan Formula Satu (F1) dan Formula E.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, jika kerajaan menganjurkan MotoGP, ia membabitkan perbelanjaan sekitar RM53.2 juta manakala F1 pula memerlukan modal jauh lebih tinggi sekitar RM228 juta.
Katanya, tiada maklumat terperinci bagi penganjuran Formula E, tetapi ia melibatkan kos dua kali ganda daripada MotoGP iaitu RM120 juta.
"Walaupun semua orang mengatakan penganjuran ini bagus, penganjuran itu bagus, tetapi kita kena tengok kemampuan dan minat rakyat terhadap sukan berkenaan.
"Kenapa MotoGP? Seperti saya katakan, 182,000 pengunjung akan datang dan Litar Antarabangsa (Petronas) Sepang memerlukan acara MotoGP ini," katanya.
Hannah berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2023 KBS di Dewan Rakyat, hari ini.
Hannah berkata, terdapat pihak cuba menganjurkan F1 tanpa pengetahuan pihak kerajaan meskipun ia membida dan mendapat hak itu.
"Selepas bida, mereka datang berjumpa dan kata kita sudah dapat bidaan dan nak duit untuk anjurkan (F1).
"Jadi tidak adil untuk kerajaan kalau ada pihak yang pergi bida tanpa mendapatkan kelulusan," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... anding-f1-formula-e |
|