|
Semek Malik sedang melakukan kerja untuk menghasilkan nekbat. FOTO NAZDY HARUN
Marang: Walaupun bermusim, namun apabila tibanya Ramadan, permintaan terhadap kuih tradisional nekbat terus melonjak tinggi hingga pengusaha tidak menang tangan untuk menghasilkannya.
Semek Malik, 67, dari Kampung Sena Redang dekat sini, berkata, setiap hari pada bulan Ramadan, dia menghasilkan kira-kira 20,000 biji nekbat bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Menurutnya yang lebih dikenali dengan panggilan Mok Sah dalam kalangan penggemar nekbat berkata, untuk menghasilkan nekbat dalam kuantiti yang banyak, dia terpaksa membuat dua sesi penghasilan.
Katanya, sesi pagi bermula dari 7.30 pagi hingga 3 petang, manakala sebelah malam, antara 8 hingga 12 tengah malam.
"Nekbat yang dihasilkan ini dijual dengan harga RM27 bagi 100 biji, manakala bagi yang membeli secara runcit dijual pada harga RM1 untuk tiga biji.
"Hanya dua bahan utama iaitu tepung beras dan telur digunakan, namun untuk menghasilkannya agak rumit, selain nekbat ini amat sensitif terhadap suhu," katanya yang berpengalaman selama 40 tahun menghasilkan nekbat.
Menurutnya, nekbat adalah hidangan yang amat popular di Terengganu apabila tibanya Ramadan dan ia hanya dinikmati sira gula.
Katanya, walaupun kuih berkenaan bermusim, namun dia tetap membuat nekbat pada hari biasa, namun dalam jumlah yang sedikit bergantung pada tempahan sahaja.
Semek berkata, pada bulan biasa, hanya empat kali dia membuat nekbat dengan menggunakan hanya dua dapur, namun apabila tiba Ramadan dia akan membuat nekbat setiap hari dengan menggunakan lima dapur.
"Bentuk dan rupa nekbat ini seperti bahulu, namun bahulu mampu bertahan lama berbanding nekbat yang sekiranya tidak disejuk beku dalam tempoh dua hari, ia sudah berkulat.
"Kalau ada pelanggan yang minta diposkan, saya perlu menjemur terlebih dahulu nekbat ini selama dua hari kerana ia amat sensitif terhadap suhu," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -biji-nekbat-sehari |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|