|
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Kuala Terengganu: Bekalan air di Terengganu masih terkawal berikutan paras empangan dan sungai masih tinggi, selain jumlah hujan yang diterima setakat ini mencukupi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Hanafiah Mat berkata, tiada isu bekalan air di negeri ini memandangkan paras empangan, simpanan air di luar sungai masih penuh selain paras sungai juga terkawal.
"Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), tiada kesan buat masa sekarang kerana simpanan air di empangan masih mencukupi dengan paras air terkini setakat 8 pagi ini adalah 144.89 meter.
"Malah, keadaan cuaca ketika ini juga tidak memberi kesan kepada operasi bekalan air apabila loji yang ada beroperasi seperti biasa.
"Kita sedang berada pada fasa akhir musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berterusan sehingga hujung Mac ini namun, ketika ini, Terengganu masih menerima hujan dan Insya-Allah, bekalan air mencukupi," katanya ketika dihubungi di sini.
Hanafiah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di semua empangan, kolam tadahan dan sungai yang ada.
Katanya, pengguna digalakkan supaya berjimat cermat menggunakan sumber air walaupun bekalan air di empangan dan sungai di Terengganu terkawal dan mencukupi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan negara kini berada pada fasa akhir MTL yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac ini.
Dalam tempoh itu, litupan awan dan taburan hujan lazimnya kurang di kebanyakan tempat, terutama di utara Semenanjung, termasuk Perak, Pahang dan Kelantan.
Ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... erengganu-mencukupi |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|