|
Chelsea kendalian Mauricio Pochettino (kanan) akan menentang skuad bimbingan Jurgen Klopp, Liverpool pada final Piala Liga di Wembley malam ini. - Foto AGENSI
LONDON: Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino menggesa pengadil perlawanan bersikap adil ketika final Piala Liga menentang Liverpool malam ini dan tidak terpengaruh dengan emosi Jurgen Klopp yang akan meninggalkan Anfield musim ini.
Pochettino merujuk kepada rayuan penalti pasukannya yang tidak dilayan secara adil ketika kekalahan 4-1 di Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris bulan lalu.
"Apa yang perlu kami pastikan ialah kami akan bersaing secara adil dalam setiap keputusan. Ketika menentang Liverpool di Liverpool, saya rasa tidak satu pun keputusan penting berpihak kepada kami.
"Dua penalti tidak diberikan. Pertembungan, 50-50 sentiasa berpihak kepada lawan, sentiasa untuk jersi merah. Saya mahu dilayan secara adil," kata Pochettino.
Pengendali dari Argentina itu tidak mahu emosi yang menyelubungi musim terakhir Klopp menjadi faktor dalam aksi final itu, dan berharap pengadil, Chris Kavanagh akan mengadili perlawanan di Wembley dengan adil.
"Liverpool adalah kelab yang hebat dan saya sukakan Klopp. Ia adalah musim terakhirnya di sini dan kami akan bersaing secara adil.
"Tetapi selepas pengalaman terakhir saya bermain di sana, apa yang saya mahukan di Wembley ialah berada di sana tanpa merasai tekanan.
"Kedua-dua pasukan perlu bermain dengan tahap yang sama dan pasukan terbaik akan menang. Bukan untuk merasai tekanan daripada orang di sekeliling," kata Pochettino.
Pochettino terlepas peluang untuk menjulang trofi dalam kancah bola sepak Inggeris ketika bersama Tottenham Hotspur, apabila tewas pada final Piala Liga kepada Chelsea. - REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan ... nan-adil-di-wembley |
|