|
PARA pemain muda terpaksa diletakkan harapan oleh Liverpool untuk merangkul trofi EFL selepas berdepan masalah kecederaan pemain tonggak. - FB LIVERPOOL
LIVERPOOL – Liverpool dijangka berada dalam keadaan ‘tempang’ menjelang aksi final Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Chelsea di Wembley malam ini gara-gara krisis kecederaan yang melanda skuad utama.
Pemain-pemain penting seperti Darwin Nunez, Mohamed Salah, Dominik Szoboszlai, Trent Alexander-Arnold, Curtis Jones, Diogo Jota, Alisson, dan Joel Matip dilaporkan masih belum pulih daripada kecederaan dialami.
Justeru, keadaan itu mungkin memaksa The Reds untuk meletakkan sandaran kepada pemain-pemain muda termasuk pemain akademi bagi mencatat kemenangan ke atas Chelsea yang dilihat semakin menunjukkan belang.
Meskipun sedar dengan ketiadaan pemain-pemain utama, namun pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tetap melaungkan amaran kepada Chelsea bahawa The Reds akan memberikan segala-galanya pada perlawanan itu nanti.
“Secara jujur, saya tidak tahu sama ada pemain-pemain (yang cedera) ini dapat bermain ataupun tidak. Mereka semua tidak berada dalam keadaan baik, jadi peluang itu mungkin diberikan kepada pemain-pemain muda.
“Saya gembira kerana berpeluang untuk menggunakan khidmat pemain-pemain muda, mereka layak bermain. Saya berjanji, selagi Liverpool cukup 11 pemain, kami akan cuba dapatkannya (trofi EFL),” katanya.
Meskipun bakal menggunakan khidmat pemain muda, namun kemampuan Liverpool tidak boleh dipandang rendah memandangkan kejayaan mereka melangkah ke pentas final EFL adalah disebabkan pemain-pemain tersebut.
Klopp menegaskan, beliau sedia untuk menurunkan sesiapa sahaja dalam setiap perlawanan, asalkan pemain-pemain berkenaan sentiasa menunjukkan kemahuan tinggi selain tidak takut berdepan pemain lebih berpengalaman.
“Saya gembira kerana memiliki pasukan yang sangat ‘tamak’ dalam kejohanan ini. Bagi saya, ia sesuatu yang penting untuk menggunakan khidmat pemain yang cergas dan memiliki karakter sebagai juara.
“Formula ini sangat menjadi memandangkan dalam tempoh tiga tahun, kami berjaya melangkah ke perlawanan akhir EFL sebanyak dua kali. Bagi saya, ia satu perkembangan yang sangat baik,” ujarnya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... ualiti-pemain-muda/ |
|