|
GAMBAR hiasan
Nilai: Jiran kepada wanita yang ditemui maut tergantung pada kipas bersama dua anaknya di sebuah rumah di Taman Albury, Lenggeng, di sini, kelmarin, menyifatkan mangsa seorang yang peramah dan ceria.
Wakil Persatuan Penduduk yang enggan namanya didedahkan berkata, kebanyakan penduduk di taman berkenaan saling mengenali satu sama lain berikutan persatuan sering mengadakan program bersama.
Jelasnya, kejadian pada malam kelmarin itu sangat mengejutkan penduduk lebih-lebih lagi ia membabitkan dua kanak-kanak berusia tiga dan enam tahun.
"Bagi jiran selorong dengan rumah wanita itu, mereka agak rapat dan kerap bertegur sapa. Malah dia sangat peramah. Tidak menunjukkan sebarang kelakuan yang pelik.
"Kadang-kadang kami terserempak dengannya ketika beriadah di luar rumah. Dia sering menemani anaknya bermain basikal. Namun, suaminya jarang kelihatan, mungkin keluar bekerja," katanya tadi.
Tambahnya, disebabkan sikap wanita itu yang peramah dan rapat, jiran tetangga di taman perumahan berkenaan masih terkejut dengan kejadian yang dianggap tragis itu.
"Ada penduduk yang tidak dapat melelapkan mata kerana mengingatkan kejadian ini. Sedih, sayu dan pelbagai perasaan bercampur baur.
"Penduduk masih tertanya-tanya dan menantikan jawapan daripada pihak polis mengenai punca kejadian ini. Apa pun, biarlah polis jalankan siasatan mereka," katanya.
Akhbar Harian Metro hari ini melaporkan seorang wanita bersama dua anaknya ditemui mati dalam keadaan tergantung pada kipas di sebuah rumah di Lenggeng.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim dilaporkan berkata, pihak Balai Polis Lenggeng menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mengenai kejadian itu pada jam 9.25 malam kelmarin.
Sementara itu, Abdul Malik berkata, bedah siasat terhadap mayat wanita itu mendapati punca kematian akibat tekanan pada leher yang digantung.
"Bedah siasat dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Bagi dua kanak-kanak itu, punca kematian adalah sama.
"Siasatan setakat ini mendapati suami mangsa tidak terbabit secara langsung dengan kejadian ini. Bagaimanapun, siasatan masih dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -beranak-tergantung |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|