|
MARTIN Odegaard (dua kiri) percaya Arsenal berpeluang untuk menang dua trofi. FOTO AFP
London: Martin Odegaard menggesa Arsenal meneruskan momentum deretan jaringan gol diraih mereka baru-baru ini dalam usaha kelab itu untuk melakar sejarah menjulang trofi Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris (EPL).
The Gunners menuju ke Porto awal pagi Khamis ini untuk perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dalam suasana yang memberangsangkan selepas menundukkan Burnley 5-0 hujung minggu lalu.
Skuad bimbingan Mikel Arteta memulakan kalendar tahun ini dengan lima kemenangan liga berturut-turut buat kali pertama dalam sejarah mereka, menjaringkan 21 gol dalam kesemua perlawanan itu.
Arsenal hanya dua mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Liverpool dan kini boleh menumpukan perhatian kepada Porto dalam usaha mereka memburu gelaran pertama Liga Perdana sejak 2004.
Selain unggul di saingan domestik buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun, Arsenal yakin mereka juga boleh menakluki Eropah.
Arsenal tidak pernah memenangi Liga Juara-Juara dengan tewas kepada Barcelona pada satu-satunya final mereka di pentas itu pada 2006.
Didorong rentetan kemenangan baru-baru ini, kapten Gunners, Odegaard yakin pasukannya mempunyai peluang untuk menjulang kedua-dua trofi.
"Inilah yang kami mahu lakukan, kami mahu bersaing dalam setiap pertandingan yang kami hadapi," kata pemain tengah Norway itu.
"Sudah tentu Liga Juara-Juara adalah perlawanan yang besar, jadi kami sangat teruja.
"Kami hanya mahu fokus kepada diri kami di setiap perlawanan, terus meningkat pada setiap perlawanan dan kemudian sama-sama kita lihat apa kesudahannya.
"Kami berada dalam prestasi yang baik sekarang. Kami perlu memafaatkan momentum ini," katanya lagi.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ng-2-trofi-odegaard |
|