|
PENYERANG City, Erling Haaland gagal memahat nama sebagai penjaring ketika seri 1-1 dengan Chelsea awal pagi semalam. – AFP
MANCHESTER – Di sebalik keputusan seri 1-1 dengan Chelsea di Stadium Etihad awal pagi semalam, pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyindir rakan sejawatnya, Mauricio Pochettino yang menganggap The Blues lebih berhak mencatat kemenangan.
Selain dihidangkan aksi di bawah par, Guardiola juga dihimpit kecewa kerana satu mata itu menyaksikan kedudukan kedua The Citizens kini dipintas Arsenal dan dipisahkan empat mata berbanding pendahulu liga, Liverpool yang mengutip 57 mata.
“Bagus, tahniah. Jika itu yang dia (Pochettino) yakin, sudah pasti ia adalah perkara bagus untuk pasukannya. Kami tahu Chelsea mampu mencabar dan kami sudah mengarungi perlawanan yang menarik.
“Kami tidak bermain pada tahap sebenar di babak pertama, namun ia berbeza di separuh masa kedua. Untuk menentang dan bersaing dengan mereka, kami perlu bermain 90 minit, bukannya hanya separuh masa,” katanya.
Sebelum itu, Pochettino menzahirkan rasa puas hati dengan prestasi pemainnya kerana kekal bersemangat untuk menentang City yang disifatkan sebagai kelab terbaik dunia.
Terdahulu, bekas bintang City, Raheem Sterling meletakkan Chelsea di depan, namun tuan rumah yang dihimpit masalah penyudah bernasib baik apabila memperoleh jaringan penyamaan menerusi Rodri pada hujung permainan.
Dalam masa sama, Guardiola enggan menyalahkan Erling Haaland yang melepaskan beberapa peluang terbaik dan menganggap dirinya bukan individu terbaik untuk memberi nasihat kepada seorang penyerang.
“Ketika bergelar pemain selama 11 tahun, saya hanya jaringkan 11 gol, jadi bagus untuknya memiliki sembilan percubaan dan dia pasti akan jaringkan gol selepas ini.
“Kami mencipta peluang dan saya tidak pernah menyalahkannya. Ini adalah bola sepak dan ia juga berkisar tentang manusia,” jelasnya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... -haaland-guardiola/ |
|