|
AKSI pemain import Pahang Rangers FC, Murilo Saad (tengah) pada perlawanan dengan Shah Alam City. -FOTO Ihsan PRFC
Kuantan: Jurulatih skuad Pahang Rangers FC, Gerard Casas dilihat tidak terlalu cemas apabila hanya mampu mencatat keputusan seri 6-6 dengan Shah Alam City pada saingan pembukaan Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL) di gelanggang lawan semalam.
Mendahului lawan 2-0 pada awal permainan tidak mampu meletakkan juara berganda musim lalu itu pada kedudukan selesa sebaliknya mereka hampir kecundang apabila dua kali ketinggalan sebelum dapat menyamakan kedudukan.
Menurut Casas, secara keseluruhan pemain telah memberi persembahan terbaik apabila berjaya mencipta enam gol menerusi pemain import Felipe De Souza pada minit ke-4 diikuti Muhammad Amirul Khairuddin (m-5), Harith Naim Mohd Nasir (m-19, m-22, m-39) dan Murilo Saad (m-38).
Katanya, pemain berusaha sedaya upaya memburu kejayaan pada perlawanan pertama, namun nasib tidak menyebelahi kami apabila gagal meraih kemenangan yang diharapkan. Hanya keputusan seri berjaya dicapai.
"Pemain memberi persembahan diharapkan terutama apabila berjaya menghasilkan dua gol dalam masa lima minit permainan, cuma selepas itu lawan mula bangkit mendapatkan gol.
"Saya tidak menyalahkan pemain selepas mencatat keputusan seri semalam, kali ini kita hanya mampu berkongsi mata dengan lawan, mungkin perlawanan selepas ini berakhir dengan kejayaan," katanya.
Beliau mengharapkan kebangkitan mengiringi Pahang Rangers pada perlawanan kedua bertemu Selangor FC di tempat sendiri, Ahad depan dan perlu menang bagi mengelak tercicir mata.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... awanan-pertama-mpfl |
|