Beliau mengulas sama ada kerajaan Pulau Pinang akan meminta Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pelaksanaan Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua.
Katanya, beliau telah membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui laluan Juru-Sungai Dua dalam lawatan kerja di Pulau Pinang semalam bagi memberi gambaran sebenar kesesakan yang berlaku.
"Apa yang boleh dikatakan, lalu sahaja di mana-mana sekalipun tetap 'jammed' (sesak) sana sini, sebab itu (projek lebuhraya bertingkat) menjadi satu keadaan mendesak di Seberang Perai.
"Terkini, kita dalam perbincangan dengan kementerian (Kementerian Kerja Raya). PLUS dan LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia) juga memaklumkan mereka sedang meneliti cara untuk menyelesaikan masalah ini.
"Bagaimanapun, kita (kerajaan negeri) akan meneruskan usaha ini sehingga penyelesaian untuk menangani kesesakan dapat diatasi," katanya.
Sementara itu, Kon Yeow merakamkan penghargaan terhadap Perdana Menteri yang menjadi pemudahcara dalam mempercepatkan Projek Air Perak-Pulau Pinang.
"Saya menganggap perkara ini berita paling baik kerana selepas beberapa siri rundingan serta perbincangan membabitkan pelbagai pihak dari pelbagai peringkat, akhirnya projek ini akan dapat segera dilaksanakan.
"Kita bukan mahu lihat Pulau Pinang sahaja maju disebabkan pembangunan ekonomi dan industri yang kita miliki, namun ia juga dapat bawa impak yang positif kepada Kedah dan Perak, khususnya kawasan Perak utara yang masih memerlukan penubuhan estet-estet perindustrian.
"Selain itu, projek ini bakal mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Perak, sekali gus menggalakkan pembangunan di keseluruhan wilayah utara Semenanjung ini," katanya.