ARAU: Setiap universiti perlu berusaha meraih dana wakaf, endowment, infak dan apa jua sumbangan dalam pelbagai bentuk termasuk kebendaan bagi memastikan kemampanan kewangan masing-masing dalam situasi ekonomi tidak menentu masa kini.
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Ts Dr Zaliman Sauli, berkata instrumen wakaf dan dengan institusi pendidikan khususnya universiti bukan sesuatu yang baharu, malah ia adalah di antara pemangkin kemajuan institusi pengajian tinggi itu.
Katanya, atas dasar itu, UniMAP menerusi Pusat Perhubungan Alumni melancarkan Tabung Wakaf Alumni UniMAP sempena Amanat Naib Canselor 2024 yang berlangsung, semalam.
"Tabung Wakaf Alumni UniMAP itu bertujuan menjadi antara platform utama penggerak dan penganjur amalan sedekah jariah dan pengimarahan ilmu melalui sumbangan dana wakaf tunai alumni serta mendokong agenda kemenjadian mahasiswa" katanya ketika melancarkan tabung berkenaan di Dewan Kecemerlangan, di sini.
Turut hadir Timbalan-timbalan Naib Canselor UniMAP dan pegawai-pegawai utama universiti.
Zaliman berkata, selain itu tabung berkenaan juga membuka ruang dan peluang serta galakan kepada alumni UniMAP untuk membabitkan diri di dalam pelaksanaan aktiviti berteraskan kebajikan dan amal jariah.
"Tabung wakaf tunai ini akan dapat membantu alumni, pelajar dari aspek kebajikan dan pembangunan modal insan serta aktiviti-aktiviti komuniti universiti membabitkan pelajar atau alumni.
"Pengurusan UniMAP menyasar untuk berusaha mengumpul dana wakaf tunai alumni berjumlah RM200,000 sepanjang tahun ini dan keseluruhan RM1 juta dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UniMAP, Dr Khairul Anwar Abdul Halim, berkata pihaknya turut berbangga kerana Naib Canselor turut berbesar hati menyumbang RM5,000 sekaligus menjadi alumni pertama menyumbang kepada tabung tersebut.
"Sehubungan itu, adalah menjadi suatu panggilan buat seluruh alumni UniMAP, keluarga staf dan siswa mahupun orang perseorangan untuk turut sama menyumbang ke tabung ini untuk manfaat alumni, universiti dan seluruh warganya.
"Semoga dengan pelancaran tabung ini secara tidak langsung dapat memperkasakan pendanaan wakaf universiti tambahan lagi kemudahan teknologi terkini memudahkan penyaluran wakaf oleh alumni," katanya.