|
WAN KUZAIN (kiri) perlu mendapatkan pasport Malaysia terlebih dahulu sebelum boleh dipanggil menyertai Harimau Malaya.
PEMAIN berdarah warisan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal digesa untuk menguruskan urusan pasportnya jika berhasrat menyarung jersi Harimau Malaya pada masa akan datang.
Nama Wan Kuzain kembali dikaitkan dengan Harimau Malaya selepas dilihat mengikuti perkembangan skuad kendalian Kim Pan-gon pada kempen Piala Asia 2023 di Qatar baru-baru ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman mengakui, pemain berusia 25 tahun itu harus mendapatkan pasport Malaysia terlebih dahulu sebelum boleh dipanggil menyertai pasukan.
Bagaimanapun, Noor Azman berkata, pada penghujungnya segala panggilan menyertai skuad kebangsaan terpulang kepada penilaian Pan-gon sama ada mahu menyerapkan mana-mana pemain dalam kem latihan pusat selepas ini.
“Dia (Wan Kuzain) kena uruskan dahulu urusan pasport (jika berminat sertai Harimau Malaya). Akhir sekali, apa sahaja keputusan akan terletak di tangan Pan-gon jika mahu memilihnya,” katanya kepada Kosmo!.
Sebelum ini, abang kepada Wan Kuzain yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal mendedahkan FAM sudah berhubung dengan pemain itu.
Buat masa ini, bekas pemain sayap skuad bawah 17 tahun AS itu mewakili kelab St. Louis City SC 2 selepas meninggalkan RGV FC Toros pada 2022.
Wan Kuzain pernah dipanggil menyertai kem pusat latihan Sukan SEA 2019 di Filipina, tetapi terpaksa digugurkan kerana masalah dokumentasi.
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... n-nasib-wan-kuzain/ |
|