Anggota Bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dan 10 motosikal di Kampung Tengah, Jalan Tualang, Langgar. NSTP/IHSAN BOMBA
ALOR SETAR: Seorang anggota bomba bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena cedera di jari kelingking tangan kiri ketika melakukan operasi pemadaman sebuah rumah kedai dan 10 motosikal yang musnah dalam kebakaran di Kampung Tengah, Jalan Tualang, Langgar, di sini awal pagi tadi.
Mangsa, Muhammad Riyard Harris Ramlan, 20-an, dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua BBP Pokok Sena, Bakar Saad, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 3.29 pagi membabitkan sebuah rumah kedai kelas A di lokasi kejadian.
Beliau berkata, sepasukan anggota BBP Pokok Sena diketuai ketua operasi, Mohd Shahrin Musa dan BBP Alor Setar tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran. Setibanya di lokasi didapati api sedang marak sehingga menyebabkan kemusnahan 90 peratus premis kedai terbabit manakala 10 buah motosikal di dalamnya turut musnah terbakar," katanya ketika dihubungi hari ini.
Bakar berkata, anggota PBB terbabit mengalami cedera di jari kelingking tangan kiri ketika cuba membuka pintu kedai berkenaan untuk memadam kebakaran.
Bagaimanapun katanya, anggotanya itu kemudian dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan di HSB.
"Punca kejadian dan kerugian kebakaran itu masih dalam siasatan," katanya.