Georgetown: Tempoh tahanan reman lelaki yang mengamuk dan
mengancam letupkan tong gas di Jalan Gangsa, di sini, Selasa lalu, disambung selama dua hari.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, permohonan terhadap penganggur berusia 41 tahun itu dibuat selepas tempoh reman tiga hari berakhir hari ini.
"Tempoh reman suspek dilanjutkan selama dua hari hingga 18 Februari," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, suspek mengamuk dan mengancam mahu letupkan dua tong gas di rumahnya.
Ketika kejadian, terdapat ibu mangsa yang berusia 69 tahun dan wanita berkenaan turut dipukul berkali-kali oleh lelaki berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, lelaki terbabit bertindak di luar kawalan akibat pengaruh dadah serta dipercayai menggunakan senjata dan memegang sebilah pisau ketika kejadian.