|
MOHD Puad (duduk tengah) bersama anak kandung (berbaju kelabu) dan adik ipar (berbaju merah jambu) bersama anak juga pasangan masing-masing.FOTO Ihsan Syazana Ta’at
Johor Bahru: Meskipun tiada pertalian darah, Mohd Puad Basri' @ Hassan melayan iparnya seperti adik-beradik kandung.
Buktinya, Mohd Puad, 60, membantu menjaga dan membesarkan empat adik iparnya yang bergelar yatim piatu selepas pemergian ibu bapa mentuanya hampir 30 tahun lalu.
Kisah itu dikongsikan salah seorang adik iparnya, Syazana Ta'at, 41, menerusi video dimuat naik di TikTok.
Syazana yang menetap di Pulai Perdana, Johor, di sini, berkata arwah bapanya Ta'at Rahmat meninggal dunia pada 3 September 1993 diikuti ibunya, Aisah Mosaba tanggal 28 November 1994.
Menurutnya, selepas pemergian kedua orang tua, mereka adik-beradik bergelar yatim piatu.
"Ketika itu, ramai datang ke rumah nak ambil adik saya jadi anak angkat, tapi arwah emak pernah pesan jangan pisahkan kami.
"Ikutkan abang ipar (Mohd Puad) tak mampu nak jaga kami empat beradik yang kesemuanya perempuan kerana dia juga ada empat anak kandung, namun bapa saudaranya nasihat jagalah kami kerana yakin rezeki kemudian hari.
"Mengenangkan kami yang tiada sesiapa, abang ipar ambil juga kami tinggal dengannya dan isteri Kak Ude (Khirina Ta'at) yang juga kakak saya," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Syazana berkata, Khirina kemudian meninggal dunia pada 21 Julai 2005 akibat barah payu dara menyebabkan abang iparnya membesarkan mereka empat beradik dan anak kandungnya sendirian.
Menurutnya, walaupun tidak tinggal sebumbung selepas pemergian kakak, dia mengakui hubungan mereka dengan Mohd Puad tetap rapat, malah abang iparnya masih menanggung perbelanjaan persekolahan mereka.
"Kami terlalu rapat sampai sudah anggap dia (abang ipar) macam abah dan abang kami.
"Abang ipar tak pernah sekali pun merungut, malah banyak berkorban termasuk hantar kami ke sekolah sampai adik masuk universiti dan menyambung pengajian peringkat sarjana serta ijazah doktor falsafah (PhD).
"Selama 10 tahun juga dijaga oleh abang ipar iaitu sejak yatim piatu ketika berusia 12 tahun hingga berkahwin pada usia 22 tahun," katanya.
MOHD Puad (belakang kanan) bergambar kenangan dengan adik iparnya selepas majlis konvokesyen bersama ahli keluarga lain. FOTO Ihsan Syazana Ta’at
Menurutnya, mereka kini sudah berkeluarga, namun tidak pernah melupakan abang ipar kerana akan berkumpul di rumahnya setiap hujung minggu, hari cuti serta hari perayaan.
Katanya, ini kerana dia tidak dapat membalas jasa Mohd Puad membesarkan mereka adik-beradik sampai bila-bila.
"Tapi, kami akan belikan baju, barangan rumah atau apa sahaja untuknya.
"Ada rezeki, kami bawa abang ipar keluar makan, malah jika bercuti akan ajak dia (abang ipar) dan anak saudara ikut sama," katanya.
Berhubung perkongsian di TikTok, Syazana berkata, niatnya sekadar menzahirkan rasa beryukur kerana dikurniakan abang ipar yang baik dan sanggup menjaga adik iparnya.
"Perkongsian itu sekadar satu cara saya untuk menghargai jasa baik abang ipar menjaga kami adik-beradik.
"Saya juga nak tunjukkan walaupun tak dapat kasih sayang ibu bapa, kami dapat perhatian dan kasih sayang abang ipar yang juga menjadi rujukan jika ada masalah.
"Hanya Allah SWT saja dapat membalas kebaikannya yang bukan hanya berjaya membesarkan empat adik ipar perempuan tetapi empat anak kandungnya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... asa-baik-abang-ipar |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|