|
NAIM (tengah) yang beraksi dengan Barcelona antara nama berpotensi diserapkan bersama skuad kebangsaan. – NAIM GARCIA
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sentiasa membuka pintu buat mana-mana pemain kacukan yang memiliki darah Malaysia untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, buat masa ini pihak persatuan sedang mengenal pasti tiga atau empat pemain berdarah warisan yang berpotensi untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan.
Kata Noor Azman, pemilihan pemain-pemain terbabit bagaimanapun bergantung dengan penilaian ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan pengendali bawah 23 tahun (B-23) negara, Juan Torres Garrido
“Kita telah kenal pasti dan alukan jika ada maklum balas berkaitan pemain kacukan di luar negara.
“Namun, semuanya bergantung kepada Pan-gon dan Torres untuk memilih mereka. Kita sudah bagi tiga atau empat pemain untuk dinilai,” katanya.
Sebagai rekod, lambakan pemain berdarah kacukan yang berpangkalan di Eropah telah dikenal pasti oleh ejen pencari bakat sehingga tular di laman sosial sejak beberapa bulan lepas.
Antara pemain yang didakwa memiliki salasilah ‘anak Malaysia’ ketika ini adalah Naim Garcia daripada kelab Barcelona, Mats Deijl (Go Ahead Eagles), Sem Scherperman (Heracles Almelo) dan Ferdy Druijf (PEC Zwolle).
Difahamkan, kesahihan mengenai status warisan pemain-pemain itu perlu diperhalusi dahulu oleh pihak kerajaan sebelum diberikan taraf kerakyatan dengan syarat disokong oleh FAM.
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... n-berdarah-warisan/ |
|