|
BRENDAN antara pemain yang sudah semakin berusia. FOTO AGENSI
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus memandang ke depan sebaik berakhirnya kempen Piala Asia 2023 apabila akan mencuba sekali lagi untuk memburu slot kejohanan itu bagi edisi 2027 yang akan berlangsung di Arab Saudi kelak.
Berdasarkan kepada situasi semasa, skuad Harimau Malaya berada pada laluan terbaik ketika ini apabila mengungguli Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan dua tempat teratas akan mara secara merit ke Piala Asia 2027.
Namun, perlu dingatkan pasukan terbaik yang dimiliki Kim Pan-gon ketika ini semakin berusia dengan beberapa tonggak utama berusia 34 tahun ke atas.
Antara pemain terbabit yang dilihat sudah berusia pada 2027 nanti adalah Shahrul Saad (34), Daniel Ting (35), Junior Eldstal, Darren Lok dan La Vere Corbin Ong (36), Paulo Josue (38) dan Brendan Gan (39).
Menurut Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donnell, walaupun ada yang mengatakan usia hanyalah sekadar nombor namun sesuatu perlu dilakukan segera oleh FAM dalam menyediakan pemain terbaik jika Malaysia sekali lagi berjaya menempah tiket ke Piala Asia 2027.
"Sudah tentu kita sekali lagi mahu menikmati pengalaman beraksi di Piala Asia. Kita juga mahu ke Piala Dunia tetapi untuk berbuat demikian, kita harus sentiasa melayakkan diri ke pertandingan Asia.
"Saya rasa kelompok pemain seterusnya (skuad B-23) terdiri dalam kalangan pemain yang bagus jadi mereka kena yakinkan Pan-gon bahawa mereka layak bermain bersama skuad senior.
"Jadi bergantung kepada pemain ini untuk menunjukkan prestasi yang terbaik dalam Liga Super, beraksi sekerap mungkin supaya dapat dipanggil nanti. Kita mahu layak lagi ke Piala Asia 2027," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... n-skuad-lebih-segar |
|