|
ASENSIO (kiri) mula memasang hajat untuk memastikan PSG menjuarai saingan Liga Juara-Juara musim ini. – AFP
PARIS – Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Marco Asensio percaya masih banyak yang boleh diberikannya untuk memastikan PSG mencapai sasaran mendakap gelaran sulung Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.
Keyakinan itu hadir berdasarkan pengalamannya menjuarai trofi keramat Eropah itu sebanyak tiga kali bersama Real Madrid sebelum ini.
Sebagai rekod, Asensio, 28, menyertai PSG secara percuma daripada Real pada musim panas lalu, tetapi terpaksa berehat lebih dua bulan kerana kecederaan kaki.
Bagaimanapun, penyerang Sepanyol yang boleh beroperasi sebagai pemain sayap itu menjadi tonggak utama PSG sejak cuti musim sejuk dengan memulakan tiga perlawanan terakhir Ligue 1 dan menjaringkan dua gol.
Justeru, Asensio tahu apa yang diperlukan untuk mengharungi segala-galanya selepas memenangi kejuaraan UCL pada 2017, 2018 dan 2022 bersama Real selain turut meledak gol pada perlawanan akhir tujuh tahun lalu ketika menentang Juventus.
“Saya sudah lama berada dalam dunia bola sepak. Saya sudah meraih pelbagai kejayaan dan saya percaya masih banyak yang boleh ditawarkan. Saya mahu menjadi contoh dan sumber inspirasi kepada pemain-pemain muda kelab ini,” kata Asensio.
Asensio pastinya menjadi sandaran utama PSG yang akan melayan kunjungan Real Sociedad dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik di Parc des Princes awal pagi esok.
Skuad bimbingan Luis Enrique itu perlu mencari bekalan selesa sebelum turun ke Sepanyol untuk aksi timbal balik di Reale Arena pada 6 Mac nanti. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... gelar-juara-eropah/ |
|