|
PAN-GON dikatakan sudah menandatangani kontrak lanjutan bersama Harimau Malaya, sekali gus menafikan khabar angin kembali menyertai Korea Selatan.
MUSTAHIL Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) ‘merisik’ semula Kim Pan-gon ketika skuad Harimau Malaya sedang bersiap menghadapi tugas getir pada kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bulan depan.
Pandangan tersebut disuarakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi, sekali gus menepis dakwaan Harimau Malaya mungkin kehilangan khidmat Pan-gon selaku ketua jurulatih.
Kata Mohd. Yusoff, FAM ada perancangan tersendiri bagi memastikan peningkatan skuad Harimau Malaya dibawah kendalian Pan-gon dapat diteruskan pada aksi kelayakan nanti.
“Buat masa sekarang tiada permintaan rasmi daripada KFA untuk mendapatkan semula khidmat Pan-gon untuk dipanggil semula ke Korea Selatan tatkala perlawanan (kelayakan Piala Dunia) menentang Oman terlalu hampir.
“Malah, KFA yang telah mencalonkan Pan-gon kepada kami sebelum ini dan saya rasa tak mungkin pihak mereka panggil kembali ketika usaha serta perubahan yang dibawanya agak ketara,” katanya pada sidang media hari ini.
Sementara itu, Mohd. Yusoff turut mengesahkan pengendali import itu sudah menandatangani kontrak lanjutan dengan perancangan jangka panjang sudah pun dilakukan.
“Kita juga sudah menandatangani kontrak lanjutan dengan Pan-gon serta ada perancangan jangka panjang dengan Pan-gon.
“FAM harap kita dapat teruskan momentum pada kempen Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 nanti,” katanya.
Sebagai rekod, Pan-gon bersama skuad Harimau Malaya mencipta sensasi tersendiri apabila mengikat Korea Selatan 3-3 pada aksi peringkat kumpulan Piala Asia 2023 di Qatar bulan lalu.
Prestasi tidak konsisten skuad Taeguk Warriors yang tersingkir di peringkat separuh akhir juga menyaksikan masa depan ketua jurulatihnya, Jurgen Klinsmann menjadi tanda tanya.
Menerusi laman sosial, sebahagian besar peminat bola sepak Korea Selatan ketika ini mahu Pan-gon kembali berkhidmat di tanah air bagi memulihkan semula reputasi pasukan itu di pentas antarabangsa.
Sebelum ini, Pan-gon telah menyandang tugas selaku Timbalan Presiden KFA selain ditugaskan sebagai Ketua Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan Taeguk Warriors.
Pan-gon telah meletak jawatan dua tahun lalu dan dilantik menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya pada Februari 2022. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... lik-harimau-malaya/ |
|