LANGKAWI: Langkawi antara empat daerah di Semenanjung yang diklasifikasi mengalami cuaca panas tahap satu selepas mencatat suhu harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan hari ini, berkata tiga lagi daerah yang turut mengalami cuaca panas itu adalah Pokok Sena di Kedah, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang.
Katanya, keempat-empat daerah terbabit mencatatkan suhu maksimum 37 darjah Celsius bagi tempoh tiga hari berturut-turut dan diletak dalam keadaan berjaga-jaga.
"Suhu maksimum harian di daerah terbabit adalah antara 35 hingga 37 darjah Celcius dan berlaku sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut," katanya.
Selain cuaca panas tahap satu, MetMalaysia mengklasifikasi suhu antara 37 hingga 40 darjah Celsius sebagai tahap dua dan lebih 40 darjah celsius sebagai tahap tiga.