|
PEMAIN Korea Selatan tidak dapat menerima hakikat selepas tewas kepada Jordan di separuh akhir Piala Asia. -FOTO Reuters
Doha: Jurulatih Jordan, Hussein Ammouta bangga dengan prestasi dan pemikiran sang juara yang dipamerkan oleh pasukannya ketika mereka melakar sejarah cukup bermakna menewaskan Korea Selatan 2-0 untuk mara ke final Piala Asia 2023.
Gol daripada Yazan Al Naimat dan Mousa Al Tamari di Stadium Ahmad Bin Ali memastikan kemenangan mutlak milik Jordan yang sebelum itu langsung tidak diletakkan sebarang harapan.
"Tahniah kepada semua yang menyumbang kepada kemenangan ini. Pemain dan semangat adalah senjata kami.
"Pemain mempamerkan aksi luar jangkaan. Faktor X ialah kami tidak menghormati Korea Selatan," kata jurulatih Jordan dari Maghribi, Ammouta.
Ammouta pada mulanya mengakui dia bimbang dengan kekurangan kreativiti menjaringkan gol pada pertengahan separuh masa pertama, tetapi ketenangan ketika bertahan membuka keyakinan buat Jordan untuk menang dalam perlawanan menentang Korea yang berada di ranking jauh lebih baik.
"Berdasarkan rekod mereka dalam beberapa perlawanan terakhir mereka, mereka melepaskan gol dan kami tahu ada kemungkinan untuk menjaringkan gol menentang mereka, itu adalah titik perubahan."
"Kami tahu bahawa lawan kami akan menyerang balik, tapi kami tetap kekal pada taktik bertahan yang agresif.
"Pendekatan proaktif kami dan penekanan pada permainan menyerang yang menjadikan kami pasukan yang lebih berkesan.
"Kami mempamerkan minda juara, menunjukkan ketabahan dan keazaman dalam setiap aspek permainan," katanya.
Kini hanya tinggal satu langkah lagi buat Jordan merangkul kejuaraan sulung Piala Asia AFC dengan Ammouta berkata, hari-hari menjelang perlawanan akhir Sabtu ini akan digunakan dengan bijak.
"Kami berterima kasih atas kesungguhan semua orang mendekati peranan mereka. Dengan hanya tiga hari untuk membuat persiapan sehingga kami bermain di final, kami mesti menggunakan masa ini dengan berkesan."
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... gat-juang-pemainnya |
|