|
Tiga pemain import musim lalu, Nurillo Tukhtasinov (kiri), Ivan Mamut (tengah) dan Argzim Redzovic yang kekal bersama TFC pada musim ini. Foto: Ghazali Kori
KUALA TERENGGANU: Naib juara Piala Malaysia 2023, Terengganu FC (TFC) bakal memulakan latihan pertamanya musim ini pada pertengahan bulan ini.
Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, latihan itu sebagai persiapan awal menjelang aksi Liga Malaysia (Liga M) yang bakal bermula 10 Mei 2024.
"Walaupun jadual perlawanan liga masih panjang iaitu berbaki kira-kira tiga bulan lagi, kami mahu membuat persiapan lebih awal bagi memastikan pemain benar-benar serasi dan mantap.
"Ini kerana pada musim ini hanya tiga pemain import sedia ada dikekalkan iaitu Nurillo Tukhtasinov (Uzbekistan), Ivan Mamut (Croatia) dan Argzim Redzovic, manakala selebihnya adalah muka baharu nanti.
"Begitu juga pemain tempatan, kita ada beberapa pemain baharu, jadi untuk proses penyesuaian sudah pasti mengambil sedikit masa untuk mereka lebih memahami corak latihan jurulatih, Tomislav Steinbruckner.
"Kita harapkan tempoh berkenaan mencukupi buat pemain dalam proses penyesuaian itu dan mereka yang berada dalam skuad perlu bekerja lebih keras bagi memastikan berada pada tahap prestasi terbaik sebelum sepak mula," katanya ketika dihubungi.
Ketika ditanya mengenai kehadiran pemain tempatan dan import baharu, Mohd Syahrizan berkata, pihaknya dari semasa ke semasa akan mengumumkan secara rasmi pemain yang bakal beraksi bersama TFC pada musim 2024/2025.
"Insya-Allah pemain import sedia ada itu akan mula menjalani latihan pertama pada pertengahan bulan ini, manakala selebihnya pihak pengurusan akan maklum secara rasmi nanti," katanya.
Jumaat lalu, TFC sudah mengumumkan pemain tempatan baharu di posisi tengah bertahan iaitu Akram Mahinan yang sebelum ini menyarung jersi Kuala Lumpur City FC (KL City FC).
https://www.bharian.com.my/sukan ... ap-sedia-lebih-awal |
|