|
NKUNKU dilaporkan kembali menjalani latihan penuh Chelsea dan bersedia diturunkan menentang Liverpool awal pagi esok. - AFP
LONDON – Chelsea terdesak untuk mendapatkan aksi terbaik dan konsisten mereka pada saingan musim ini, namun tugas tersebut tidak mudah apabila perlu berdepan Liverpool di Anfield pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi esok.
Selepas mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala Liga Inggeris dengan membenam Middlesbrough dengan agregat 6-2, skuad kendalian Mauricio Pochettino gagal untuk meraih kemenangan apabila diikat tanpa jaringan menentang Aston Villa pada aksi Piala FA.
Prestasi tidak menentu itu menyebabkan mereka berdepan kesulitan untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga biarpun menunjukkan prestasi lebih stabil sejak kebelakangan ini apabila meraih empat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir.
Pochettino juga terdesak untuk meraih kemenangan pada aksi kali ini dan sekiranya berjaya, pengurus dari Argentina itu akan menjadi pengendali Chelsea pertama meraih empat kemenangan berturut-turut selepas Thomas Tuchel melakukannya pada Januari hingga Mac 2022.
Menjelang aksi tersebut, Pochettino mungkin menerima sedikit berita melegakan apabila dilapor kembali mendapatkan khidmat penyerangnya, Christopher Nkunku yang semakin pulih daripada masalah kecederaan untuk membentuk gandingan bersama Cole Palmer.
Selain itu, mereka juga dikhabarkan kembali menerima kepulangan penjaga gol, Robert Sanchez, Malo Gusto dan pemain tengah, Romeo Lavia, tetapi hampir pasti turun tanpa kelibat Reece James, Wesley Fofana dan Marc Cucurella yang masih cedera.
Bagaimanapun, berdasarkan statistik aksi di tempat lawan, keputusan positif tidak memihak kepada The Blues apabila di bawah kendalian Pochettino mereka tewas lima daripada 10 perlawanan di luar Stamford Bridge.
Sepanjang lima aksi terakhir di gelanggang lawan, Chelsea tewas empat kali ketika berdepan Newcastle United, Manchester United, Everton dan Wolverhampton Wanderers sebelum ini. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/01 ... prestasi-konsisten/ |
|