GEORGETOWN: Sejumlah 7,346 kes demam denggi dengan 12 kematian dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-52 di Pulau Pinang sehingga 30 Disember lalu.
Berdasarkan kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), data kematian tertinggi direkodkan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) iaitu membabitkan lima kes, diikuti Seberang Perai Selatan (empat), Timur Laut (dua) dan Barat Daya (satu).
"Bagaimanapun, bagi epid minggu pertama 2024 setakat semalam tiada kematian dilaporkan namun bilangan wabak semasa berjumlah 33 yang mana SPT kekal mencatatkan rekod tertinggi iaitu 22," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sehubungan itu, JKNPP menasihati orang ramai supaya melakukan langkah pencegahan dan kawalan sendiri bagi membasmi pembiakan nyamuk di kawasan kediaman atau premis.
"Masyarakat boleh melakukan tiga perkara bagi mengelak demam denggi iaitu lindungi diri daripada digigit nyamuk aedes, musnahkan tempat pembiakan nyamuk dan segera berjumpa doktor sekiranya demam," katanya.