ALOR SETAR: Seorang kontraktor kerugian RM146,313.60 selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan berasaskan bitcoin dalam talian tidak wujud menerusi Facebook, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, lelaki berusia 30-an itu pada mulanya menyertai skim pelaburan berkenaan pada 26 Disember lalu dan berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApps.
Katanya, suspek kemudian memberi penerangan mengenai pelaburan berkenaan yang menawarkan keuntungan lumayan antara RM8,000 hingga RM50,000 mengikut beberapa pakej pelaburan.
"Suspek kemudian menerangkan kepada pengadu bahawa pelaburan ini amat menguntungkan dengan pakej asas serendah RM300, mampu mendapat pulangan RM8,000 hingga RM12,000 dalam masa tiga jam.
"Pakej premium, dengan modal RM1,000 pula mendapat pulangan RM18,000 hingga RM25,000 dalam masa enam jam sahaja.
"Seterusnya, jika melabur dalam pakej emas, iaitu modal RM1,800, akan memperoleh keuntungan RM30,000 hingga RM50,000 mengikut kenaikan harga bitcoin semasa," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Arshad berkata, mangsa yang tertarik dengan pelaburan itu sanggup mengeluarkan wang simpanan persendirian bagi menyertai pelaburan.
"Dia kemudian membuat 12 kali transaksi pindahan wang ke dalam sembilan akaun berbeza diberi oleh suspek berjumlah RM146,313.60 antara 27 Disember hingga 29 Disember lalu semasa berada di rumahnya di sini.
"Namun, mangsa akhirnya menyedari ditipu apabila tidak memperoleh apa-apa keuntungan daripada pelaburan seperti dijanjikan suspek, sebelum tampil membuat laporan semalam," katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan polis mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.