GUA MUSANG: Hampir 2,000 penduduk di Kampung Limau Kasturi dan Kampung Serian, di sini, terputus hubungan apabila Jambatan Sungai Kerak yang menjadi jalan keluar dari perkampungan itu dinaiki sejak awal pagi tadi.
Penduduk, Mazita mamat, 44, berkata menyedari kejadian itu jam 5.30 pagi sewaktu keluar untuk pergi berniaga.
Katanya, apabila menyedari air sudah melimpah ke atas jambatan, dia yang memandu pacuan empat roda membunyikan hon kenderaan untuk mengejutkan penduduk kampung.
"Seawal jam 5.30 pagi saya keluar dari kampung dan air baru di atas jambatan, dalam tempoh 20 minit kemudian paras air semakin meningkat.
"Saya terpaksa membunyikan hon kenderaan bagi mengejutkan penduduk supaya mereka berjaga-jaga dengan paras air yang semakin meningkat," katanya ketika ditemui di Kampung Limau Kasturi hari ini.
Pemilik kedai runcit, Ramli dollah, 49, berkata selepas menyedari air Sungai Galas melimpah ke atas Jambatan Sungai Kerak, dia mula menyimpan barangan jualan ke atas bot rakit.
"Sehingga kini penduduk masih trauma dengan kejadian banjir yang berlaku pada 2014 dan boleh dikatakan setiap rumah mempunyai bot rakit sebagai persediaan menghadapi banjir. Kami berharap kejadian banjir besar yang berlaku pada 2014 tidak lagi berulang," katanya yang sudah berniaga kedai runcit selama 17 tahun di Kampung Limau Kasturi.'
Penghulu Mukim Kampung Limau Kasturi, Mohd Shaffien Mohmood, berkata hujan yang masih berlarutan menyebabkan air semakin naik.
"Saya sudah menasihatkan penduduk untuk sentiasa bersiap sedia berpindah sekiranya paras air semakin meningkat. Mana yang ada rumah bot boleh menyimpan barang dan bagi yang tiada boleh menyimpan barang di tempat yang lebih tinggi," katanya.