Laporan akhbar BH hari ini mengenai kejadian gangguan elektrik lebih 12 jam di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenal pasti dua sumber alternatif Pencawang Pembahagian Utama (PPU) bagi membekalkan tenaga elektrik ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata sumber itu sebagai tindakan penyelesaian bagi mengelakkan insiden gangguan elektrik di CIQ BSI yang ketika ini mendapat bekalan dari PPU Gerbang Perdana, berulang.
"TNB mengenal pasti beberapa PPU terdekat sebagai sumber kedua atau alternatif dan akan mencadangkan kepada kerajaan dalam tempoh terdekat. Kerja-kerja itu dijangka bermula tahun depan dan memakan masa setahun untuk selesai sepenuhnya.
"Insya-Allah selepas itu tiada lagi insiden seperti kelmarin," katanya pada sidang media di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini hari ini.
Menurutnya, apabila kerja-kerja berkenaan siap kelak, CIQ BSI akan mempunyai tiga punca bekalan elektrik, iaitu dua laluan terus dari TNB dan satu dari bangunan itu sendiri.
"Ini bermakna ada sumber sokongan. Sebelum ini, TNB ada satu sumber utama, juga ada sumber sokongan dan ditambah tujuh set janakuasa sedia ada.
"Sekarang Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang membaikpulih kesemua tujuh set janakuasa dengan kos RM800,000. Apabila siap sepenuhnya, ada tiga sumber, iaitu dua dari TNB dan satu dari bangunan itu sendiri," katanya.
Kelmarin, CIQ BSI di Tambak-Johor, yang menjadi laluan ulang-alik lebih 300,000 pekerja Malaysia ke Singapura setiap hari, mengalami gangguan elektrik lebih 12 jam, mulai 8 malam sebelum pulih 9.13 pagi semalam.
Selain CIQ BSI, turut bergelap ialah PPU Gerbang Perdana di Bangunan Sultan Iskandar yang menempatkan Pejabat Imigresen, Kastam dan MAQIS Johor, manakala JB Sentral menempatkan kaunter tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), selain ruang niaga.
Gangguan itu menyebabkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura terpaksa berbaris panjang dan lebih lama kerana urusan pasport terpaksa dilakukan secara manual. Malah beberapa kemudahan lain juga tidak dapat beroperasi secara automatik, antaranya pengimbas pasport, lif, tangga bergerak dan MBIKE.
Kelmarin, Mohamad Fazli memaklumkan gangguan bekalan elektrik di CIQ BSI berpunca daripada salah satu daripada tujuh set janakuasa yang digunakan rosak sehingga menyebabkan dewan pejalan kaki bergelap.
Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pula menyifatkan insiden terbabit sebagai memalukan negeri Johor.
|