Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin, membuat laporan polis dituduh mengambil suapan RM160,000 menerusi satu surat layang yang diterima Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. FOTO Ihsan Pembaca
Seremban: Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin dituduh mengambil suapan RM160,000 menerusi surat layang yang diterima Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun minggu lalu.
Kee Chin berkata, dakwaan suapan daripada individu tidak dikenali itu kononnya bagi menyelesaikan masalah pendudukan di tanah rizab kerajaan di Kampung Pasir, di sini.
"Saya mendapat tahu perkara ini selepas dimaklumkan Menteri Besar. Dalam surat berkenaan dinyatakan saya menerima RM40,000 daripada setiap empat individu di Kampung Pasir bagi menyelesaikan isu berkenaan.
"Malah pegawai khas turut difitnah kononnya berkuasa melantik kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains)," katanya kepada ketika dihubungi, hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha DAP Negeri Sembilan berkata, tuduhan itu menjejaskan dan mencalarkan imejnya sebagai wakil rakyat sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis.
Beliau juga mencabar individu yang membuat tuduhan itu supaya tampil mengemukakan bukti serta saksi atas dakwaan yang dianggap melampau itu.
"Saya tahu individu itu sengaja mahu jatuhkan reputasi saya. Oleh sebab itu saya membuat laporan polis, semalam, bagi siasatan lanjut kerana saya yakin berada di pihak yang benar.
"Hari ini juga pegawai khas saya membuat laporan mengenai perkara itu ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menerbitkan surat layang itu termasuk mereka yang membantu menerbitkannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe mengesahkan menerima laporan daripada Kee Chin dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
|