CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4820|Reply: 0

Perlu dipertimbang secara rasional bukan emosional

[Copy link]
Post time 10-11-2023 08:29 AM | Show all posts |Read mode
Perlu dipertimbang secara rasional bukan emosional

ISU boikot mahupun kempen menentang penjajahan rejim Zionis perlu dipertimbangkan secara rasional.

Kad kredit adalah antara instrumen pembayaran sah mengikut Akta Sistem Pembayaran 2003. Menurut Ketetapan Majlis Kesatuan Fiqh Islam Sedunia (Majma' Fiqh Islami), kad kredit adalah suatu bentuk penyata keterangan (kad kredit) yang diiktiraf, ia diberikan oleh pengeluar kepada mana-mana individu atau pihak yang diiktiraf melalui kontrak di antara kedua-dua pihak.

Ia membolehkan pemilik melakukan transaksi pembelian atau perkhidmatan daripada semua pihak yang mengiktiraf penyata keterangan itu, tanpa perlu membuat pembayaran tunai (segera) kerana ia mengandungi jaminan pembayaran daripada pihak pengeluar (Zaharudin Abd Rahman, 2003).

Islam cukup menitikberatkan soal pemilikan individu dan harta, sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa' ayat 29: " Wahai orang yang beriman, janganlah kalian semua saling memakan harta sesama sendiri atas jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan atas dasar reda antara satu sama lain ..." Rasulullah juga bersabda mafhumnya: " Barangsiapa yang mengambil hak pemilikan orang lain walau hanya sejengkal tanah, maka ia akan dikalungkan di lehernya (kiamat kelak) seberat tujuh lapisan bumi." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Selain itu, Hifz al-Mal iaitu (menjaga harta) dengan memelihara dan melindungi pemilikan harta itu daripada kehancuran dan peralihan ke tangan individu lain dengan cara yang tidak sah menurut perundangan syarak termasuk dalam lima prinsip utama Maqasid Syariah yang menjadi teras agama.

Tambahan, kaedah fiqh menyebutkan bahawasanya mereka yang diberikan izin menguruskan harta seseorang sementara jika ia rosak atau hilang maka diwajibkan ke atas mereka ganti rugi harta itu.

Sejak krisis di Gaza, bermandi darah dengan serangan bertalu-talu rejim Zionis, netizen Malaysia yang rata-rata mengikuti perkembangan krisis berkenaan, menggunakan platform media sosial menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kekejaman rejim Zionis. Tidak kurang juga segelintir pihak cuba menggodam maklumat akaun perbankan seorang rakyat Israel. Maklumat berkenaan kemudian dikongsikan secara terbuka di laman X miliknya.

Ironinya, dikatakan hasil penggodaman itu dijadikan antara sumber sumbangan kemanusiaan yang disalurkan ke Gaza. Tidak kurang juga ada pihak yang mempersoalkan tindakan kecurian identiti atau phishing itu daripada sudut pandang agama.

Al-Imam Syafii menegaskan bahawasanya seseorang Muslim apabila memasuki kawasan jajahan takluk kafir harbi yang dijanjikan keselamatan dan keamanan bagi dirinya, maka tidaklah wajar dia bertindak merampas atau mencuri sebarang harta milik mereka. Perjanjian keselamatan dan keamanan ini sejajar dengan laras hukum yang termaktub, andai sudah tidak terealisasi illat tersebut maka secara tidak langsung hukumnya juga berubah. Rujuk al-Umm (m/s 1/301). Senada dengan illat yang dikemukakan oleh Imam Syafii, al-Imam Haramain al-Juwaini dalam pendirian beliau bersetuju larangan percerobohan aset harta pemilikan kafir harbi itu selagi mana masih terikat dengan syarat perjanjian keselamatan dan keamanan bagi golongan Muslimin.

Namun, jika individu kafir itu yang masih terikat dengan dominasi negara harbi dan mulai mengancam keselamatan serta keamanan kaum Muslimin, maka syarak membenarkan harta itu diambil dan dirampas secara fai' iaitu (harta yang didapati oleh Muslimin daripada pemilikan harta kafir tanpa peperangan). Rujuk Nihayatul Mathlab (m/s 17/494).

Justeru, provokasi demi provokasi rejim Zionis terhadap penduduk Gaza yang tidak bersalah cukup jelas membuktikan klasifikasi kafir harbi yang sering disebut-sebut dalam kitab fiqh klasik adalah relevan dan suara sumbang yang tidak memahami perincian hukum berkaitan dengan klasifikasi itu hanyalah tin kosong yang ingin meruntuhkan moral kemanusiaan.

Islam cukup adil dalam menilai hubungan diplomatik sesama manusia tanpa mengira bangsa, warna dan agama. Al-Iman an-Nawawi menyebutkan bahawasanya individu kafir harbi yang asalnya tidak diperakui keberadaannya oleh Islam, apabila memasuki kawasan jajahan Muslimin atas dasar diplomatik dan perniagaan, mereka dijanjikan keselamatan serta keamanan oleh pemerintah Islam di kawasan itu, nyawa dan hartanya tidak boleh dinodai selama mana ia masih patuh dengan undang-undang yang termaktub. Rujuk Majmu' Syarh al-Muhazzab (m/s 19/452).

Bahkan al-Imam Ibn Hajar al-Haitami menghuraikan seputar hukum yang berkaitan dalam bab kekeluargaan, kemasyarakatan dan pengurusan harta menerusi persoalan adakah patut bagi individu Muslim yang berurusan dengan individu kafir harbi yang lain menggantikan harta yang dirosakkan olehnya disebabkan kecuaian dan sebagainya? Jawapannya cukup jelas bahawa tidak diwajibkan oleh individu Muslim itu menggantikannya dan juga sebaliknya individu kafir harbi itu tidak wajib menggantikan harta individu Muslim yang telah dirosakkan olehnya menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab, hal ini demikian kerana tidak berlaku konsensus akad selayaknya sehinggalah terlaksananya hukum.

Rujuk Hasyiyat Syirwani Wal U'badi ala Tuhfah Muhtaj (m/s 9/254) Kaedah fiqh juga ada menyebutkan, "Menghilangkan keabsahan hukum yang bergantung pada faktor tertentu adalah diperbolehkan, sekiranya ia sudah tidak lagi mematuhi perbatasan syarak yang ditetapkan pada dasarnya".

Adapun berkaitan dengan perihal dosa dan pahala, tidaklah berdosa perbuatan individu Muslim yang cuba merampas dan mengambil harta kafir harbi yang tidak lagi mematuhi perbatasan syarak, sebagaimana dinyatakan dalam Bughyat Mustarsyidin (m/s 156). Setelah diperhatikan teks golongan fuqaha' sesuai dengan permasalahan kecurian identiti atau phishing yang dilakukan oleh sesetengah penggodam pada pemilikan salah seorang individu rakyat Israel, penulis mendapati petunjuk jelas ia diperbolehkan seandainya tidak mematuhi moral kemanusiaan sejagat, jelas ancamannya dan nyata kebobrokan provokasinya terhadap keselamatan serta keamanan kaum Muslimin. Namun, andai individu rakyat Israel itu mematuhi moral kemanusiaan sejagat dan tidak terang-terangan mengancam keselamatan dan keamanan Muslimin meskipun dasar negara yang didiaminya memerangi kaum Muslimin, nyawanya dan hartanya termasuk dalam perjanjian aman tanpa syak.

Isu boikot mahupun kempen menentang penjajahan rejim Zionis perlu dipertimbangkan secara rasional bukanlah emosional semata-mata.

Kesimpulannya, sebagai seorang Muslim kita wajib memastikan diri dididik dengan acuan dan panduan Islam dalam setiap urusan kehidupan dan bukanlah propa semangat semata-mata. Golongan agamawan pula, mereka perlu memperhalusi dan memperincikan setiap hukum-hakam yang keluar dari lisan mereka supaya bertepatan dengan tujuan utama perundangan syarak dan bukannya secara semberono mengalukan api-apian ceramah demi meraih sokongan murahan netizen, manakala bagi pihak kerajaan seperti Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia (KKD), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkaitan perlu memantau tindakan rakyat Malaysia. Adakah benar dan telus godaman itu? Adakah ia bertujuan menyatakan solidariti? Adakah benar sumbangan itu disalurkan kepada aktivis kemanusiaan yang berdaftar tanpa terdapat sebarang unsur diragui? Berserderhanalah dalam setiap perkara kerana ia adalah tuntutan agama jua.

Penulis Calon Sarjana Pengkhususan Usul al-Fiqh, Universiti Al-Azhar

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... nal-bukan-emosional


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic
...BYE 2024, HELLO 2025...
seribulan...BYE 2024, HELLO 2025...
Views : 54993 Replies : 13
...AZAM TAHUN 2025...
seribulan...AZAM TAHUN 2025...
Views : 55522 Replies : 25
New Chapter 01: FATTAH AMIN ~ Bebaskanlah mimpi-mimpi terindah
codenamedreamNew Chapter 01: FATTAH AMIN ~ Bebaskanla
Views : 43345 Replies : 1687
Acikpor vs. Ngai, isu tajaan MARA dikorek
maklukpenggodaAcikpor vs. Ngai, isu tajaan MARA dikore
Views : 49926 Replies : 1378
Air laut di Thailand penuh najis manusia
ultra78Air laut di Thailand penuh najis manusia
Views : 34062 Replies : 10
Nenek pun boleh....
maklukpenggodaNenek pun boleh....
Views : 10411 Replies : 16
madu gula tok matahari
aaanf14madu gula tok matahari
Views : 109476 Replies : 1139
Skandal 18 polis yang memalukan Indonesia
maklukpenggodaSkandal 18 polis yang memalukan Indonesi
Views : 94030 Replies : 48
Berita malam seram:Viral isu Iblis, syaitan dan sekutunya bina HQ di tengah laut.”
YgBenarBerita malam seram:Viral isu Iblis, syai
Views : 30422 Replies : 52
'Syarikat insurans untung bilion, anehnya mahu naikkan premium hingga 70 peratus'
Abahmung'Syarikat insurans untung bilion, an
Views : 17926 Replies : 53

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 01:53 PM GMT+8 , Processed in 0.180633 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list