|
MUAR: Mahkamah Sesyen hari ini mendakwa seorang pekerja kedai makan atas pertuduhan mencabul kanak-kanak perempuan ketika mengajaknya mengambil daun pandan di sebuah rumah dalam daerah Kluang, bulan lalu.
Tertuduh, Mohamad Hussein Roslan, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak berusia 11 tahun dekat sebuah rumah di Kluang, pada 20 Oktober lalu.
Foto: Berita Harian
Kejadian berlaku antara jam 7.30 hingga 8 malam dan dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Berdasarkan fakta kejadian, tertuduh yang juga jiran mangsa dilaporkan bertandang ke rumahnya untuk mengambil daun pandan.
Pada masa masa, tertuduh turut mengajak mangsa menemaninya sebelum mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu.
Mangsa ketakutan kemudian melarikan diri sebelum memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarganya. Berikutan itu, keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Kluang pada hari kejadian.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh diwakili peguam G Subramanian Nair dan S Selvantheran.
Terdahulu, pihak pendakwaan mengemukakan dua pilihan kepada mahkamah agar tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin atau ikat jamin sebanyak RM18,000.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin. -CARI
Sumber: Berita Harian |
|