|
BANGKOK: Seorang lelaki tergamak membunuh anak lelakinya yang berusia enam tahun.
Thaiger melaporkan lelaki berusia 23 tahun itu berbuat demikian untuk memujuk bekas isterinya supaya pulang ke rumah.
Warga Thailand dikenali sebagai Nattapon itu dilaporkan menghubungi Balai Polis Hua Hin kira-kira pukul 9 malam (waktu tempatan) pada 27 Oktober lalu untuk membuat aduan kononnya anaknya sudah hilang.
Foto: Thaiger
Berdasarkan aduan dibuat Nattapon, dia parkir kenderaan pikapnya berhampiran sebuah kedai tepi jalan untuk membeli makanan.
Nattapon mendakwa dia meninggalkan anaknya bernama Japan di dalam kereta ketika membuat panggilan menerusi telefon bimbitnya.
Suspek kemudian mendakwa dia mendapati Japan hilang setelah kembali ke kenderaannya, lalu bergegas mendapatkan bantuan daripada seorang rakannya untuk mencari anaknya.
Katanya, setelah gagal mencari anaknya, mereka memutuskan untuk mendapatkan bantuan polis.
Pada 28 Oktober lalu, Nattapon menghubungi polis sekali lagi dan memaklumkan bahawa dia menemukan mayat anaknya di kawasan hutan terletak sepanjang Jalan Kuil Soi Nong Kla.
Pasukan polis dan forensik bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan mendapati Japan meninggal dunia akibat sesak nafas serta mempunyai kesan cakar di dahinya.
Pegawai penyiasat mendapati tingkah laku Nattpon amat mencurigakan dan menyoal siasatnya selama beberapa jam sehingga suspek mengaku membunuh anaknya.
“Nattapon mengaku bekas isterinya bercerai dengannya sebulan lalu, wanita itu sudah mempunyai teman lelaki baharu dan tidak menghiraukan suspek dan anaknya.
“Suspek menggesa bekas isterinya untuk pulang ke rumah tetapi dia masih tidak mengendahkannya. Nattapon menjadi tertekan dan marah lalu kerana wanita itu meninggalkan beban kepadanya lalu memutuskan untuk membunuh anaknya.
“Nattapon mengaku membunuh Japan dengan menutup mulut dan hidung anaknya dengan sehelai kain sehingga tidak dapat bernafas,” katanya. -CARI
Sumber: Utusan |
|