View: 7513|Reply: 0
|
Saling menghargai sama mencintai
[Copy link]
|
|
Saling menghargai sama mencintai
Dalam melayari bahtera kehidupan berumah tangga, setiap Muslim wajib berlaku adil kepada pasangan masing-masing dengan melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan sama ada keperluan fizikal atau emosi, mahar, nafkah, pergaulan yang baik, bimbingan agama, nasab keturunan dan pelbagai lagi. FOTO Arkib NSTP
Perkahwinan disyariatkan bagi memenuhi tuntutan fitrah manusia selaras dengan ajaran Islam. Firman Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Dzariyat ayat 49 yang bermaksud: "Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami)."
Perkahwinan adalah dituntut apabila seseorang itu berkemampuan daripada segi fizikal dan mental serta bimbang dirinya terjerumus ke dalam perbuatan dosa dan maksiat. Perkara itu bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Wahai anak muda. Sesiapa daripada kamu yang mampu untuk berkahwin, hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya ia akan menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu adalah perisai." (Riwayat Muslim)
Dalam melayari bahtera kehidupan berumah tangga, setiap Muslim wajib berlaku adil kepada pasangan masing-masing dengan melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan sama ada keperluan fizikal atau emosi, mahar, nafkah, pergaulan yang baik, bimbingan agama, nasab keturunan dan pelbagai lagi. Firman Allah dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud: "Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya."
Dalam Surah an-Nisa' ayat 19 Allah SWT juga berfirman yang bermaksud "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (rasa) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)."
Seorang suami hendaklah menghargai isteri dengan penuh kasih sayang agar dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain sebagaimana teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Sabda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik terhadap keluargaku…" (Riwayat Tirmizi)
Allah SWT menciptakan lelaki dengan kelebihan dan keistimewaan tertentu untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pelindung kepada wanita serta menjadi pemimpin yang berwibawa. Perkara tersebut dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa' ayat 34 yang bermaksud: "Lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap perempuan, oleh kerana Allah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan dan kerana lelaki membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka. Maka perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) serta yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama dengan pemuliharaan Allah serta pertolongan-Nya."
Perkahwinan sebenar yang dibina berlandaskan syariat akan membina sifat kepemimpinan, memupuk kebersamaan dalam menghadapi cabaran, kematangan dalam membuat keputusan, melatih sifat sabar serta saling membantu dalam mencari nafkah untuk keluarga. Sebuah perkahwinan yang diredai oleh Allah SWT adalah ikatan kekeluargaan yang kukuh, saling mencintai dan berkekalan dalam rahmat Allah SWT.
Keharmonian rumah tangga dapat dinikmati dalam suasana sakinah, mawaddah dan rahmah apabila pasangan suami isteri berlaku adil iaitu saling menunaikan hak serta kewajiban selaras dengan tuntutan agama dan kesepakatan bersama. Dalam hal ini, Allah SWT menyifatkan hubungan suami isteri umpama pakaian sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud: "Isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka."
Pakaian yang baik tidak semestinya ditentukan daripada bahan buatan mahal, tetapi kerana faktor individu bijak menggayakannya sesuai dengan tempat dan masa. Begitu juga pasangan suami isteri yang perlu berperanan mengikut fungsi masing-masing agar keadilan dalam rumah tangga dapat ditegakkan.
Dalam hal keharusan berpoligami, walaupun ajaran Islam membenarkan perkahwinan melebihi daripada seorang isteri, kebenaran itu berlandaskan maslahah agar lelaki memelihara diri daripada hubungan yang terlarang dan menjamin kebajikan bagi wanita dengan mengutamakan aspek keadilan. Firman Allah dalam al-Quran Surah an-Nisa' ayat 3 yang bermaksud: "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan (lain) dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman."
Ikatan suci pernikahan mestilah dimulakan dengan sifat kejujuran serta dilaksanakan mengikut peraturan dan proses undang-undang. Elakkanlah tindakan untuk memilih jalan pintas bagi urusan pernikahan yang menyalahi undang-undang. Di semua Wilayah Persekutuan, sebarang kesalahan berhubung urusan pernikahan dengan tidak mengikut saluran yang betul boleh disiasat di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) seperti Seksyen 19 (Kebenaran Sebelum Akad Nikah), Seksyen 123 (Poligami Tanpa Kebenaran), Seksyen 39 (Akad nikah perkahwinan yang tidak dibenarkan), Seksyen 40 (Kesalahan yang berhubung dengan akad nikah perkahwinan), Seksyen 38 (Akuan Palsu) dan Seksyen 133 (Percubaan dan Subahat).
Perkahwinan yang dilaksanakan tidak mengikut lunas undang-undang akan meninggalkan kesan yang buruk kepada banyak pihak. Dalam hal ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terus komited di dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang syariah dan menganjurkan pelbagai seminar kesedaran berkaitan isu undang-undang keluarga Islam serta program 4P iaitu Perintah Pengesahan Pendaftaran Perkahwinan yang memberikan peluang kepada mana-mana pasangan yang berkahwin, tetapi tidak mematuhi Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) untuk membuat pendaftaran perkahwinan.
Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)
SumbeR:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... rgai-sama-mencintai
|
|
|
|
|
|
|
| |
|