View: 2972|Reply: 0
|
[Kedah]
'Apabila rindu datang menyapa...'
[Copy link]
|
|
PERKONGSIAN Nor Salsabila Hanis memakai jubah konvokesyen sambil memegang gambar dua 'syurganya' mendapat perhatian netizen. FOTO Ihsan Dr Nor Salsabila Hanis Abdul Hamid
Sungai Petani: Biarpun pemergian ibu bapa sudah lama berlalu namun kerinduan terhadap dua insan tersayang itu masih kuat dirasai wanita ini apatah lagi impian mereka melihatnya menggenggam segulung ijazah tidak kesampaian.
Dr Nor Salsabila Hanis Abdul Hamid, 27, melalui saat duka apabila kehilangan ibu tersayang akibat Covid-19 pada 27 Julai 2021 manakala bapanya pula meninggal dunia asbab jangkitan kuman dalam darah pada 7 April tahun lalu.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pergigian (Bachelor of Dental Surgery) daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan, Pahang itu kehilangan ibu dua bulan sebelum menghadapi peperiksaan akhir dan bapa pula selepas sebulan bekerja, namun tidak sempat menghadiri majlis konvokesyennya yang berlangsung pada 15 Ogos tahun lalu.
Perkongsiannya di TikTok pada Sabtu lalu yang memaparkan dua gambarnya bersama ibu bapa dan memakai jubah konvokesyen sambil memegang gambar dua 'syurganya' mendapat perhatian netizen dan meraih 1.8 juta tontonan dengan netizen memberi sokongan serta mendoakan mereka.
Nor Salsabila Hanis berkata, video itu disunting kerana dia merindui ibu bapa dan dikongsikan di akaun TikTok untuk mengimbau kenangan namun tidak menyangka mendapat perhatian hingga ramai mendoakan insan tersayangnya.
KENANGAN ketika panggilan video bersama ibu bapanya. FOTO Ihsan Dr Nor Salsabila Hanis Abdul Hamid
"Saya terharu baca komen positif dan doa buat arwah mama dan abah. Ada juga yang mengalami nasib lebih kurang sama, malah lebih berat ujiannya mengingatkan saya yang dunia ini adalah tempat ujian dan kita perlu sabar serta reda. Cuma apabila rindu datang menyapa pastinya kita akan sedih.
"Terima kasih untuk semua dan buat yang masih ada ibu bapa hargai dan senangkan hati mereka sebab apabila mereka tiada nanti perasaan itu sukar diungkapkan ia seperti kita hilang satu nikmat yang sangat besar tanpa doa mereka," katanya.
Mengimbas memorinya, anak bongsu daripada 10 beradik yang kini bertugas di Klinik Pergigian Bandar Sungai Petani, di sini, berkata, ibu bapanya mengimpikan mahu melihat dia berjaya menggenggam ijazah dan bekerja malah bapa teruja apabila dia bertugas berhampiran rumah mereka.
"Abah juga bangga apabila saya berjaya menamatkan pengajian walaupun ketika itu melalui fasa sedih apabila mama baru meninggal dunia, namun sudah tertulis bukan rezekinya melihat saya memakai jubah konvokesyen.
"Pada majlis konvokesyen saya ditemani adik-beradik walaupun tidak semua dapat hadir tetapi itu sudah menggembirakan saya biarpun hakikatnya ia memang menyedihkan tanpa ibu bapa kami," katanya.
NOR Salsabila Hanis ditemani kakaknya pada majlis konvokesyennya. FOTO Ihsan Dr Nor Salsabila Hanis Abdul Hamid
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... indu-datang-menyapa |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|