|
ALOR SETAR – Dua adik-beradik, Puteri Saidatul Nisa Mohamad Zamzury dan Puteri Izzatunnisa menempuh dugaan berat apabila menderita penyakit kronik.
Puteri Saidatul Nisa, 10, menghidap penyakit jantung ketika berusia enam bulan sementara adiknya, Puteri Izzatunnisa, 6, menderita kanser adrenal sejak 2020.
Kata ibunya, Nur Syazwani Ramli, 31, berkata, kedua-dua anaknya itu terpaksa menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Hospital Gleneagles Pulau Pinang dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) setiap bulan selain menjalani pembedahan sebelum ini.
Foto: Kosmo
“Puteri Saidatul pernah melakukan pembedahan jantung pada 2013, tetapi masih perlu melakukan pemeriksaan berkala. Adiknya pula dibedah empat kali dan menjalani kemoterapi di HKL pada 2020 hingga 2021 bagi membuang ketumbuhan itu.
“Sekarang Nisa (Puteri Izzatunnisa) perlu ke HKL setiap bulan untuk suntikan hormon. Doktor beritahu sel kanser sudah tiada, tetapi masih perlu dipantau,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Sri Tandop, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, dia mengesan barah ketika anaknya berusia tiga tahun apabila perut kanak-kanak itu buncit.
“Doktor sahkan dia menghidap barah adrenal tahap empat. Semua rawatan dibuat di HKL kerana tiada doktor pakar di sini. Ketika dibedah sebelum ini, saya berkampung hampir setahun di HKL,” kata suri rumah itu.
Jelas Nur Syazwani, suaminya, Muhamad Zamzury Md. Znan, 29, bekerja sebagai pembantu kedai dengan gaji RM1,500 sebulan. Setiap bulan mereka membawa Puteri Izzatunnisa menaiki bas ekspres ke Kuala Lumpur.
“Makan minum kami tidak kisah kadang-kadang makan nasi dan telur sahaja. Yang penting dapat simpan duit untuk rawatan anak-anak,” tambahnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB milik Nur Syazwani bernombor 7610119295. -CARI
Sumber: Kosmo |
|