|
SKUAD negara berjaya meraih kedua selepas membenam Filipina sekali gus membuka peluang untuk memburu kedudukan juara kumpulan. - FB FAM
EMPAT gol yang dihasilkan ketika benam Filipina 4-0, kelmarin sudah cukup untuk perkukuhkan semangat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk cuba layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar tahun depan.
Bagaimanapun, tuan rumah, Thailand bakal menjadi halangan terakhir buat anak buat E. Elavarasan ketika kedua-dua pasukan bakal buat perhitungan penghabisan Kumpulan H untuk menentukan siapa lebih layak muncul juara kumpulan.
Pengurus B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata tiada apa lagi yang boleh diminta daripada pemain kerana seluruh pasukan sudah pun mengerah segala kudrat untuk memastikan tiga mata mampu diraih pada aksi dengan Filipina.
“Terima kasih kepada pemain kerana berusaha keras pada perlawanan ini. Lawan kita selepas ini adalah pasukan yang memiliki persiapan rapi, tetapi pemain kita juga sedang berada dalam keadaan baik.
“Mereka bersemangat tinggi dan saya yakin mereka akan mampu beri tentangan kepada Thailand pada aksi selepas ini. Segalanya baik dan pastinya pemain bersedia untuk hadapi Thailand,” katanya.
Paling selamat, Malaysia perlu tewaskan Thailand untuk tersenarai dalam 11 juara kumpulan yang akan layak ke pusingan akhir, namun jika gagal, skuad negara masih berpeluang untuk layak sebagai empat naib juara kumpulan terbaik.
Berdasarkan dua pertandingan serantau sebelum ini, skuad Gajah Perang memiliki rekod lebih baik berbanding Malaysia, menang 2-0 di Sukan SEA dan turut raih kejayaan 4-3 dalam sepakan penalti pada penentuan tempat ketiga Kejuaraan AFF B-23.
https://www.kosmo.com.my/2023/09 ... b-23-semakin-kukuh/ |
|