|
Pemain China melakukan percubaan ketika menentang Malaysia pada aksi persahabatan di Chengdu semalam. - Foto FB FAM
KUALA LUMPUR: Pengendali China, Aleksandar Jankovic menegaskan anak buahnya dianggap bertuah selepas berjaya mengikat Malaysia 1-1 pada aksi persahabatan di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, semalam.
Malah, beliau mengakui Malaysia yang menduduki ranking ke-136 dunia beraksi lebih baik berbanding pasukannya yang hampir dimalukan di depan penyokong sendiri.
China yang menghuni ranking ke-80 dunia itu terlebih dahulu ketinggalan pada minit ke-11 menerusi jaringan Faisal Halim sebelum Lin Liangming menyelamatkan maruah tuan rumah dengan gol penyamaan pada minit ke-36.
"Secara jujurnya, kita tidak patut menang pada malam ini. Penyokong memberi sokongan sepanjang perlawanan dan saya minta maaf kerana kami mengecewakan mereka.
Pengendali China, Aleksandar Jankovic. - Foto AFP
"Ia perlawanan yang sukar untuk kami. Kami bergelut pada babak pertama dari segi organisasi, keseimbangan, tenaga dan kawalan emosi.
"Kami bertuah kerana tidak dibolosi gol kedua ataupun gol ketiga. Kami membuat sedikit perubahan pada babak kedua dan mencipta beberapa peluang.
"Namun jika percubaan Xu Xin masuk ke dalam gol lawan sekalipun, ia tetap persembahan yang buruk daripada kami," katanya seperti dilaporkan agensi berita, Xinhua.
Pada aksi itu, China hampir meraih gol kemenangan di hujung permainan namun percubaan lencong Xu pada minit ke-89 terkena palang.
Malaysia mengikat China 1-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, semalam. - Foto FB FAM
https://www.bharian.com.my/sukan ... ukan-harimau-malaya |
|