|
PASUKAN Jepun kejutkan Jerman. FOTO Reuters
Wolfsburg, Germany: Tuan rumah Euro 2024, Jerman dimalukan Jepun dalam aksi persahabatan antarabangsa yang menyaksikan pasukan dari benua Asia itu menang 4-1, sekali gus memberi tamparan hebat buat jurulatih Jerman, Hansi Flick.
Kekalahan itu adalah yang kedua buat bekas juara Piala Dunia itu yang turut dimalukan oleh Jepun selepas tewas 2-1 dalam aksi peringkat kumpulan Piala Dunia Qatar November lalu.
Kekalahan dua kali berturut-turut di tangan skuad Samurai Biru itu menimbulkan persoalan tentang masa depan Flick bersama pasukan, ketika Jerman hanya tinggal sembilan bulan sebelum menjadi tuan rumah kejohanan Eropah itu.
Junya Ito dan Ayase Ueda meledak dua gol buat Jepun, dengan Leroy Sane mencetak satu jaringan buat kedua-dua pasukan mengakhiri babak pertama 2-1.
Tuan rumah terus goyah pada separuh masa kedua dengan pelawat berjaya menambah dua lagi gol menerusi Takuma Asano dan Ao Tanaka pada hujung permainan.
Sebelum perlawanan, Flick berjanji akan menurunkan skuad terkuat bagi menghadapi pertemuan itu selepas pasukannya sekadar mampu melakar satu kemenangan daripada lima aksi ditempuhi sejak ditunjukkan jalan keluar di Piala Dunia November lalu.
Bagaimanapun, segala-galanya tidak menjadi buat Flick yang terus gagal meningkatkan prestasi pasukan itu.
Selepas ini, Jerman dijadual berdepan finalist Piala Dunia Qatar iaitu Perancis dalam satu lagi persahabatan pada Selasa ini.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... man-buat-kali-kedua |
|