|
Fernandes ledak gol tunggal Portugal atasi Slovakia
Pemain Portugal, Bruno Fernandes meraikan jaringan ketika aksi kelayakan Euro 2024 menentang Slovakia di Tehelne pole, Bratislava, Slovakia. - Foto REUTERS
BRATISLAVA, Slovakia: Bruno Fernandes memastikan kemenangan kelima berturut-turut Portugal dalam kempen kelayakan Euro 2024 selepas menewaskan Slovakia 1-0 di Bratislava.
Pemain tengah Manchester United itu, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-29nya, meledak gol tunggal permainan pada minit ke-43.
Skuad kendalian Roberto Martinez belum dibolosi dalam saingan Kumpulan J, meledak 15 gol dan berada lima mata di depan lawannya itu yang berada di tangga kedua selepas tewas buat pertama kali.
"Kami sedar ia akan menjadi rumit tetapi kami berjaya merungkai permainan. Kami perlu mengawal bola lebih lama, lebih bersabar," kata Fernandes.
Dengan pertahanan veteran, Pepe, 40, cedera, pengendali Portugal menurunkan pemain 19 tahun Benfica, Antonia Silva untuk bergandingan dengan Ruben Dias mengawal benteng.
Cristiano Ronaldo, yang membuat penampilan ke-201 untuk Portugal pada usia 38 tahun, tidak berjaya menambah koleksi 850 gol sepanjang kariernya.
Ronaldo sebaliknya dilayangkan kad kuning kerana mengasari pemain Slovakia dan akan terlepas aksi seterusnya menentang Luxembourg pada Isnin. - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... ugal-atasi-slovakia |
|