|
ANTARA aksi skuad negara bertemu Syria semalam. FOTO FB FAM
Kuala Lumpur: Kejayaan menterbalikkan keputusan perlawanan terutama di babak kedua menerusi kebangkitan luar biasa nyata mengembirakan pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Pasukan negara yang ketinggalan dua gol pada babak pertama dilihat tidak berputus asa, malah bangkit memperagakan aksi lebih mantap untuk mengikat Syria 2-2 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium East-Town Football Park, di Chengdu, China petang semalam.
Ujar Pan-gon, barisan pemain negara mula menyerlahkan 'belang' dan beliau percaya anak didiknya kini sebaris pasukan-pasukan di ranking 100 terbaik dunia.
"Pada perlawanan ini saya rasa kita sudah terkeluar. Kami perlu bangkit dan di babak kedua berjaya menyamakan kedudukan kepada 2-2.
"Itu sangat bagi kami untuk mendapatkan keyakinan secara amnya berbanding separuh masa pertama. Pandangan saya, persembahan kami sangat baik.
"Kami berada pada tahap untuk terus bersaing dengan pasukan di ranking 94 dunia, cuma saya rasa mungkin (melakukan) dua kesilapan.
"Tetapi separuh masa kedua kami menunjukkan kepada penyokong mengenai mentaliti Malaysia dan watak Harimau Malaya untuk mengejar permainan.
"Sehingga tamat permainan kami berjuang. Saya sangat berbangga dengan semua pemain termasuk semua pemain pertukaran," katanya selepas perlawanan itu.
Dalam aksi sengit itu, Malaysia yang menghuni ranking ke-136 dunia ketinggalan dua gol hasil kelalaian barisan pertahanan yang menyaksikan Mardik Mardikian dan Yassin Samia meledak gol masing-masing di minit 12 dan 41.
Begitupun skuad negara kembali mengejar dan berjaya mengikat aksi menerusi jaringan pemain gantian Akhyar Rashid (m-51) dan Darren Lok (m-85) sekali gus mengecewakan lawan yang berada di tangga 94 dunia itu.
"Apabila mereka masuk ke dalam padang, mereka menukar permainan. Saya sangat gembira kerana kami tidak sabar untuk aksi berikutnya," katanya.
Selepas ini, pasukan negara akan bertemu China dalam aksi persahabatan antarabangsa kedua di Stadium Phoenix Hill, di Chengdu, China Sabtu ini.
Dua aksi persahabatan itu adalah sebahagian persiapan skuad Harimau Malaya sebelum turun di Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 November ini, dan pusingan akhir Piala Asia di Qatar, Januari tahun depan.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -buah-tunjuk-belang |
|