View: 2457|Reply: 0
|
Messi, Haaland pilihan menang Ballon d'Or
[Copy link]
|
|
Lionel Messi (kanan) dan Erling Haaland muncul pendahulu utama untuk memenangi anugerah Ballon d'Or kategori lelaki tahun ini. - Foto AFP/Reuters
PARIS: Lionel Messi dan Erling Haaland muncul pendahulu utama untuk memenangi anugerah Ballon d'Or kategori lelaki tahun ini, manakala bintang Piala Dunia Sepanyol, Aitana Bonmati mengetuai calon bagi wanita yang diumumkan awal pagi tadi.
Messi, yang meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) untuk berpindah ke Inter Miami baru-baru ini, berpeluang mengambil alih daripada Karim Benzema dan merangkul Ballon d'Or buat kali kelapan dalam karier gemilangnya selepas mengetuai Argentina memenangi Piala Dunia di Qatar tahun lalu.
Haaland mungkin pencabar utamanya bagi anugerah itu selepas menjaringkan 52 gol dalam 53 perlawanan bagi membantu Manchester City memenangi tiga kejuaraan - Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris dan Piala FA Inggeris musim lalu.
Minggu lalu penyerang Norway itu memenangi anugerah pemain terbaik tahunan UEFA bagi musim lalu.
Bintang PSG, Kylian Mbappe dan rakan sepasukan Haaland di City, Kevin De Bruyne turut berada dalam senarai 30 calon bagi anugerah itu, pemenangnya akan diumumkan pada satu majlis di Paris pada 30 Oktober depan.
Bintang PSG, Kylian Mbappe. - Foto AFP
Benzema, yang menamatkan karier 14 tahun di Real Madrid pada Jun lalu apabila dia berpindah ke kelab Arab Saudi, Al-Ittihad turut dicalonkan.
Bonmati, pemenang anugerah pemain terbaik wanita UEFA, dilihat menjadi pilihan untuk meraih Ballon d'Or selepas muncul pemain paling cemerlang ketika Sepanyol menjulang Piala Dunia Wanita di Sydney bulan lalu.
Aitana Bonmati, pemenang anugerah pemain terbaik wanita UEFA. - Foto AFP
Dia turut menyinar ketika Barcelona memenangi Liga Juara-Juara Wanita dan berharap dapat menyamai pencapaian rakan sepasukan kelab dan antarabangsa Alexia Putellas, pemenang bagi dua tahun terakhir.
Putellas tidak dicalonkan kali ini kerana jarang beraksi dengan Barcelona musim lalu selepas mengalami kecederaan ligamen lutut yang teruk pada Julai 2022 yang menyaksikannya diketepikan selama sembilan bulan.
Bonmati adalah seorang daripada empat anggota skuad juara Piala Dunia Sepanyol dicalonkan, di samping Olga Carmona, Salma Paralluelo dan Alba Redondo.
Rakan senegara mereka Patricia Guijarro dan Mapi Leon turut disenaraikan.
Kedua-dua pemain Barcelona itu tidak beraksi pada Piala Dunia selepas muncul antara kalangan 15 pemain yang berkata tahun lalu mereka tidak lagi mahu bermain untuk Sepanyol kerana membantah terhadap persekutuan bola sepak negara itu dan jurulatih Jorge Vilda.
Turut disenaraikan dalam 30 kalangan calon penyerang Chelsea dan Australia, Sam Kerr serta penjaga gol England, Mary Earps. – AFP
Kapten Argentina, Lionel Messi mengucup trofi Piala Dunia selepas mengatasi Perancis pada final di Stadium Lusail, Qatar pada 18 Disember lalu. – Foto REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan ... n-menang-ballon-dor |
|
|
|
|
|
|
| |
|